AM > BERITA

KEMENTERIAN KOMUNIKASI KERJASAMA DENGAN META BANGUNKAN WHATSAPP CHATBOT, PERANGI BERITA PALSU

09/05/2024 03:38 PM

HULU SELANGOR, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Meta Platforms Inc (Meta) sedang membangunkan satu kemudahan WhatsApp Chatbot yang akan dilancarkan hujung bulan ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kemudahan Chatbot menerusi aplikasi WhatsApp milik Meta itu akan berperanan sebagai platform bagi semakan kesahihan fakta dan maklumat oleh pengguna terhadap sebarang mesej yang disebarkan di aplikasi berkenaan.

Katanya beliau sudah mencuba dan berpuas hati dengan aplikasi itu, namun ketika ini ia memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal bersama Meta, sebelum boleh dilancarkan.

“Kemudahan ini kita bangunkan kerana banyak mesej-mesej tidak benar, fitnah disebarkan menerusi WhatsApp, jadi kita pilih (untuk) letakkan penyelesaian di aplikasi itu juga. Pengguna boleh berkongsi dengan Chatbot (mengenai) sebarang mesej diterima untuk dipastikan kesahihannya,dan akan mendapat maklum balas dalam tempoh satu atau dua minit.

“Untuk jawapan semakan kesahihan oleh Chatbot itu, kita bekerjasama dengan laporan daripada kumpulan JomCheck iaitu melibatkan beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) termasuk MyCheck daripada Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang mempunyai standard amat tinggi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur di sini yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Ir Azizi A. Hadi.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kemudahan WhatsApp Chatbot itu mampu memberi reaksi dan maklum balas kepada setiap pertanyaan pengguna dalam pelbagai bahasa utama antaranya Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.  

“Namun ketika ini WhatsApp Chatbot hanya berdasarkan text...maknanya kalau kita hantar dokumen, video atau gambar, dia belum ada lagi kemampuan untuk semak dan sahkan, tetapi saya harap pada masa depan akan ada kemampuan itu,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada majlis hari ini Fahmi berkata enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah bersetuju dengan rangka kerja perkongsian rangkaian dan infrastruktur dalam menawarkan liputan yang lebih baik dan menyeluruh kepada pengguna.

Enam MNO berkenaan adalah CelcomDigi (dua rangkaian berasingan), Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications.

“Sehingga kini 102 menara telah dikenal pasti di tujuh kawasan utama yang akan mempunyai liputan sama rata oleh enam MNO meliputi lebuh raya, universiti awam, hospital, stadium, kawasan tumpuan pelancong, kem askar serta kuarters polis dan juga kawasan-kawasan sambutan perayaan.

“Setakat ini, kemajuan melengkapkan liputan sudah melebihi 70 peratus di lokasi-lokasi tapak… di Kuala Kubu Baharu sahaja, terdapat sembilan menara, dengan lima daripadanya melaksanakan perkongsian rangkaian antara MNO,” katanya.

Fahmi berkata dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas majlis hari ini, pihak MNO akan menguji model pelaksanaan di dalam rangka kerja pada rangkaian dan menara sebenar (live network) di lima lokasi yang telah dikenal pasti.

Sementara itu beliau berkata pihak kementerian juga sedang berbincang dengan syarikat telco dalam usaha mewujudkan inisiatif pelan 5G RAHMAH buat golongan mahasiswa di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan