AM > BERITA

MUSIBAH BANJIR BUKA PELUANG “REZEKI LEBIH” USAHAWAN F&B MELALUI IPR

26/04/2024 04:57 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

SEGAMAT, 26 Apr (Bernama) -- Musibah banjir yang melanda Johor tahun lepas membuka peluang rezeki baharu kepada usahawan makanan dan minuman Haida Abdul Rahman, 48, apabila penyertaan beliau dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini memberikan pendapatan bersih mencecah RM5,000 sebulan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata sewaktu mengisi masa lapangnya dengan melayari internet kerana beliau dan keluarganya terpaksa ditempatkan di pusat perpindahan banjir akibat musibah yang yang melanda negeri ini pada bulan Mac tahun lepas, beliau terjumpa laman sesawang Kementerian Ekonomi yang menawarkan penyertaan dalam IPR.

“Saya pun teruslah isi borang ‘online’ dan lepas seminggu dapat ‘feedback’ dari kementerian meminta saya menghantar maklumat terperinci serta pengesahan dari penghulu, dan dua bulan selepas itu saya menerima maklum balas dari pihak kementerian lagi, meminta saya mengisi maklumat Google Map pula,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat disini hari ini.

Beliau berkata namanya disenarai pendek pada bulan Julai tahun lepas dan pegawai kementerian menemu bual serta membuat pemeriksaan keadaan rumah beliau pada bulan sama sebelum namanya terpilih sebagai salah seorang dari dua perserta IPR di bawah kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) bagi daerah Segamat pada bulan September.

Anak jati Segamat itu berkata selepas menjalani kursus pada bulan September, beliau dibekalkan dengan mesin layan diri (vending machine) serta tapak untuk mesin berkenaan di UiTM Segamat pada bulan Oktober.

Katanya mesin berkenaan turut diberi jaminan selama dua tahun dan sebarang kerosakan sepanjang tempoh berkenaan akan ditanggung oleh pembekalnya.

Haida yang sudah 24 tahun berkecimpung secara kecil-kecilan dalan sektor makanan dan minuman berkata sebelum ini pendapatan yang mampu diraih sebulan tidak melebihi RM2,000 sebulan manakala pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan, namun sejak menyertai IPR, beliau mampu meraih sehingga RM2,000 seminggu dan pendapatan bersih sehingga RM5,000 sebulan.

Katanya mesin layan diri yang dibekalkan juga sangat mudah dikendalikan kerana ia datang dengan aplikasi yang membolehkan beliau memantau mesin berkenaan dari jauh selain turut menawarkan kaedah pembayaran secara “Paywave” yang memudahkan pembeli sekiranya mereka tidak mempunyai wang tunai.

Haida berkata beliau menambah stok mesin berkenaan dua kali sehari pada waktu siang dan malam, dengan menu yang berbeza bagi kedua-dua sesi berkenaan bagi mengelakkan pembeli merasa bosan dengan menu yang disediakan.

Katanya menu pada waktu siang termasuklah nasi lemak, sandwich dan kuih muih manakala pada waktu malam, antara menu yang disediakan adalah spaghetti, “baby John” (roti John kecil) dan oblong daging selain makanan Korea seperti bibimbap dan ramen.

“Kita sediakan menu yang mendapat sambutan pembeli terutamanya para pelajar pada harga menu Rahmah iaitu di bawah RM5 dan separuh dari menu kita berharga di bawah RM2,” katanya.

IPR yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Februari tahun lepas bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.

Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.

Selain INSAN, IPR turut menawarkan kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) kepada syarikat pertanian, rantaian peruncitan makanan, pengeksport, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan koperasi serta Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) kepada syarikat-syarikat swasta yang memerlukan pekerja-pekerja sambilan untuk tujuan pembersihan premis dan premis-premis agensi kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan