BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
AM

Mesyuarat khas pemimpin ASEAN diharap dapat pulihkan konflik di Myanmar -- Syed Hamid

21/04/2021 05:58 PM

 KUALA LUMPUR, 21 April -- Mesyuarat khas Pemimpin ASEAN di Jakarta Sabtu ini penting kerana ia akan menentukan kemungkinan perdamaian antara kerajaan tentera (Tatmadaw) dan awam  di Myanmar dapat dicapai, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mesyuarat itu juga akan membantu perancangan untuk memulihkan demokrasi di negara itu selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, katanya.

Menurutnya cabaran terbesar mesyuarat khas itu ialah untuk meyakinkan kerajaan tentera bahawa keadaan di Myanmar ketika ini tidak boleh dibiarkan berterusan demi keamanan dan kestabilan Myanmar dan kawasan serantau

“Myanmar bakal menjadi negara yang gagal kerana ekonominya akan runtuh tanpa kerjasama institusi kerajaan, perniagaan dan komuniti perdagangan. Justeru, mesyuarat itu sangat rapuh,” katanya, sambil menambah, krisis politik di Myanmar boleh menjejaskan wilayah ini secara keseluruhan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan Indonesia yang menjadi peneraju utama dalam usaha memulih dan menamatkan krisis politik di Myanmar.

Menerusi mesyuarat itu diharapkan ASEAN dan Tatmadaw dapat menamatkan pergolakan dan memulakan aktiviti kemanusiaan yang telah dimulakan UNHCR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Myanmar.

"Mesyuarat khas itu penting kerana ini adalah kali pertama ASEAN mengadakan perbincangan mengenai konflik dalaman membabitkan anggota ASEAN dan ini merupakan langkah penting," kata Syed Hamid, yang pernah dilantik utusan khas OIC ke Myanmar, ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, mesyuarat itu menandakan permulaan yang baik memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa mengenai peranan ASEAN sebagai badan serantau.

Ditanya mengenai Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha yang tidak akan menyertai mesyuarat itu, Syed Hamid berkata ia memberi kesan memandangkanThailand sangat dekat dengan kerajaan Tatmadaw. Thailand akan diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai.

Mengenai permintaan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), kerajaan bayangan Myanmar, supaya  wakilnnya diundang ke mesyuarat itu, Syed Hamid berkata Myanmar sepatutnya diwakili Panglima Tenteranya kerana Tatmadaw adalah kerajaan de facto.

Ditanya adakah sudah terlambat untuk mengadakan mesyuarat itu, Syed Hamid berkata biar lambat daripada tiada untuk memastikan kredibiliti, keberkesanan dan kepusatan ASEAN.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan