EKONOMI > BERITA

PERAK, SYARIKAT KOREA SELATAN BAKAL BEKERJASAMA HASILKAN PRODUK HILIRAN REE - MB

26/04/2024 10:46 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak dijangka menjalin kerjasama dengan syarikat terkemuka Korea Selatan, Star Group Industries (SGI) yang berpengalaman dalam penghasilan produk hiliran unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata syarikat itu akan berkunjung ke Perak pada bulan depan dan butiran lanjut kerjasama itu akan dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pihak terbabit.

“SGI yang diketuai oleh Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kong Kun Seong, menunjukkan minat untuk bekerjasama, malah menyatakan hasrat berkunjung ke Perak pada bulan depan untuk perbincangan lanjut.

“Ini satu perkembangan positif dan susulan daripada lawatan kerja kerajaan negeri ke sana...kita turut dibawa melawat kilang SGI di Daegu yang menghasilkan produk hiliran REE,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Saarani mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja ke Korea Selatan dan Jepun pada 20-27 April, 2024, bagi menarik pelaburan dari kedua-dua negara, terutama dalam industri mineral, kenderaan elektrik (EV), pengurusan sisa pepejal dan tenaga hijau.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu berpotensi bagi melengkapkan rantaian bekalan industri automotif, khususnya dalam melaksanakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City Tanjung Malim tanpa perlu bergantung kepada bahan mentah import.

“Antara komponen terpenting industri automotif adalah magnet kekal yang menghasilkan motor aruhan magnet, magnet penghidup penjana hibrid, brek elektrik bersepadu, stering berkuasa elektrik serta pelbagai komponen berteknologi tinggi lain,” katanya.

Beliau berkata kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi manfaat besar kepada Perak, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.

“Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan dapat kita cipta melalui industri baharu ini. Sudah pasti ini memberi limpahan manfaat untuk rakyat Perak, khususnya anak-anak muda,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan