AM

KELUARGA PELAJAR SABAH DI TIMUR TENGAH DIMINTA BERTENANG

17/04/2024 12:14 AM

KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) --  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif hari ini menggesa ibu bapa dan keluarga kepada pelajar Sabah yang sedang menuntut di Timur Tengah supaya bertenang berikutan konflik yang semakin memuncak di rantau itu.

Beliau berkata kerajaan Sabah dari semasa ke semasa berhubung dengan Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang sedang memantau keadaan itu terutamanya di Mesir dan Jordan untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan situasi tersebut.

Mohd Arifin berkata beliau sendiri telah berhubung dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkenaan perkara itu dan diberitahu Wisma Putra serta Kementerian Pendidikan Tinggi sudah bersedia untuk sebarang situasi termasuk membawa pulang pelajar tersebut.

“Setakat ini terdapat 248 anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 orang di Jordan dan sembilan orang di Arab Saudi. Mereka ini belajar di beberapa universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

“Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Sabah, Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah, dan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Ariffin berkata beliau dan pihak Yayasan Sabah juga sentiasa berhubungan dengan wakil yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi mengenai situasi semasa anak-anak itu di tiga negara berkenaan.

“Kita juga ada pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir sebelum ini,” katanya sambil memohon supaya semua pihak berdoa agar anak Sabah yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan