BERITA COVID–19   Rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis | Dakwaan KKM manipulasi jumlah kes positif COVID-19 adalah tidak berasas -- Ismail Sabri | Thailand rancang tambah 10 juta lagi dos vaksin COVID-19 | COVID: Empat lagi kluster baharu diisytihar di Sarawak | PKP di Mukim Endau, Mukim Triang di Mersing, Johor mulai esok hingga 3 Mei | 
AM

MySejahtera boleh diperluas sebagai pusat sehenti -- Saifuddin

07/04/2021 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 April  -- Aplikasi MySejahtera mampu diperluaskan penggunaannya kepada sektor e-dagang, pendidikan, perkhidmatan penghantaran, selain berfungsi sebagai pusat sehenti atau 'Super App', kata Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata jika penggunaannya diperluaskan, aplikasi yang kini digunakan oleh hampir 25 juta rakyat Malaysia itu akan dapat menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu platform.

"Dengan ini, kami di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan meneruskan usaha membangunkan bukan sahaja infrastruktur telekomunikasi tetapi juga melipatgandakan penggunaan teknologi digital bagi merealisasikan aspirasi MyDigital untuk manfaat semua lapisan masyarakat ke arah Revolusi Industri 4.0 dan kemakmuran bersama," katanya dalam kenyataan bersempena Hari Kesihatan Sedunia hari ini.

Beliau berkata MySejahtera telah membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam menguruskan maklumat jangkitan, pengawasan penularan wabak serta pendaftaran suntikan vaksin secara waktu sebenar dan terkini.

"Penularan wabak COVID-19 mendorong keperluan untuk mengadaptasi kaedah digital dalam perkhidmatan kesihatan, yang mana antara inisiatif penting dan berkesan ialah dengan mewujudkan aplikasi MySejahtera," katanya.

Mengenai Hari Kesihatan Sedunia, Saifuddin berkata hari tersebut yang disambut pada 7 April setiap tahun sejak 1948 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan sejagat.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini iaitu 'Membina Dunia yang Lebih Adil dan Sihat' bertujuan untuk menyeru supaya perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kelas ekonomi, lokasi dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan