Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hospital Selgate Rawang Beroperasi Dalam Masa Terdekat - MB

28/07/2025 07:31 PM

SHAH ALAM, 28 Julai (Bernama) -- Proses pembinaan Hospital Pakar Selgate Rawang (SSH Rawang) kini di peringkat akhir dan dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat, menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata dengan kapasiti 224 katil, SSH Rawang bakal menjadi mercu tanda baharu dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan pakar di kawasan utara Selangor.

“Alhamdulillah, saya gembira melihat perkembangan positif projek ini yang kini berada di fasa akhir pembinaan.

“Pemeriksaan akhir oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dijadualkan pada 31 Julai ini, insya-Allah hospital ini akan mula beroperasi dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata beliau berkesempatan meninjau kemajuan pembinaan hospital pertama di bawah Kumpulan Selgate, sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu, hari ini.

Beliau berkata SSH Rawang bakal dilengkapi pelbagai kepakaran perubatan serta kemudahan diagnostik canggih, satu cerminan kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta untuk memperluaskan akses kesihatan berkualiti kepada rakyat.

Amirudin berkata langkah itu selari dengan visi Selangor untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan pakar kepada rakyat dan menjadikan negeri ini sebagai hab kesihatan termaju di Malaysia.

Majlis perletakan batu asas pembinaan hospital itu berlangsung pada Ogos 2018.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan