Ad Banner
 AM > BERITA

Pendekatan Menyeluruh Perlu Diperkenal Tarik Golongan Muda Sertai Sektor Pertanian - Amirudin

29/07/2025 06:02 PM

KLANG, 29 Julai (Bernama) -- Satu pendekatan yang menyeluruh perlu diperkenalkan bagi menarik dan menggalakkan golongan muda menyertai sektor pertanian, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata langkah itu penting berikutan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Selangor menunjukkan bahawa majoriti petani di negeri itu, kini berusia 46 tahun dan ke atas.

Amirudin berkata selain menjanjikan pulangan yang tinggi, bidang pertanian juga perlu dilihat sebagai satu aktiviti yang menarik pada perspektif orang muda.

“Pernah suatu ketika ada trend orang muda antaranya jurutera terlibat dalam bidang pertanian, tetapi perkara itu tidak berlanjutan.

“Susulan itu, kita kena jadikan pertanian ini satu aktiviti yang “cool”, aktiviti yang baik kerana mendatangkan hasil atau pulangan yang tinggi,” katanya pemberita selepas melancarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Selangor, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan majoriti pengusaha pertanian di Selangor atau 77.3 peratus berumur 46 tahun ke atas, manakala 44.5 peratus terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Amirudin berkata dasar bagi menggalakkan orang muda menjadi petani dijangka akan dilaksanakan dalam belanjawan negeri atau Rancangan Selangor akan datang.

Selain itu beliau berkata dapatan banci pertanian itu juga, akan diteliti oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim, Jabatan Pertanian Selangor serta jabatan berkaitan dalam menambaik baik polisi atau dasar berhubung sektor tersebut.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang akan menangguhkan pelaksanaan Sistem Parkir Pintar (SIP) yang dijadual bermula 1 Ogos ini.

Amirudin berkata tiga PBT lain yang telah bersetuju untuk melaksanakan sistem itu ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Ketika ini MBPJ masih meneliti mekanisme berkaitan, jadi pelaksanaan akan dimulakan melibatkan PBT yang telah memberikan persetujuan terlebih dahulu,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan