Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PTKL2040 Pacu Pengangkutan Mampan, Ubah Gaya Hidup Warga Kota

29/07/2025 09:17 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR,  29 Julai (Bernama) -- Menikmati ruang kehidupan lebih efisien dengan pelbagai infrastruktur yang memudahkan, antaranya sistem pengangkutan awam lebih mampan dan gaya hidup sosial lebih positif merupakan pelan pembangunan yang sedang dirangka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Bayangkan pada 15 tahun akan datang, biarpun berada di tengah-tengah kota metropolitan masyarakat dapat merasai kehidupan lebih selesa dengan bekerja, berehat dalam lingkungan berjalan kaki dari rumah hasil pelaksanaan pelbagai perancangan yang dirangka dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) untuk menyokong pertumbuhan bandar lebih mampan dan inklusif

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata menerusi PTKL2040 pihaknya merancang sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu, mesra pengguna, efisien dan berorientasikan manusia, dengan menjadikan pergerakan awam sebagai pilihan utama warga kota menjelang 2040.

Beliau berkata matlamat itu juga disokong dengan pelaksanaan Konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang akan memberi impak kepada karakter kawasan sekitar, corak penggunaan transit, zon guna tanah dan intensiti pembangunan yang dirancang pada setiap stesen transit.

"TOD dilaksana di sekitar stesen untuk memastikan akses mudah kepada tempat kerja, kediaman dan fasiliti komuniti selain pengintegrasian antara mod pengangkutan.

"Ia juga melibatkan harmonisasi sistem tiket dan pembayaran merentasi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas dan pengangkutan alternatif (seperti e-skuter) melalui satu platform digital selain hab integrasi multimodal akan diwujudkan di kawasan strategik," katanya kepada Bernama. 

Maimunah berkata ibu negara juga akan dibentuk sebagai bandar raya mesra pejalan kaki dan mengutamakan mobiliti aktif, termasuk rangkaian laluan pejalan kaki bersambung, basikal, e-skuter, mesra kerusi roda dengan teduhan, pencahayaan dan keselamatan.

"DBKL juga akan memperluas Zon Bebas Kenderaan di pusat bandar dan kawasan warisan selain mereka kawasan sekitar TOD dengan prinsip reka bentuk skala manusia bagi memudahkan pergerakan kaki antara bangunan, taman dan stesen transit," katanya. 

Beliau berkata DBKL juga akan menangani dan menambah baik aspek batuan pertama dan terakhir yang menjadi halangan terbesar kepada penggunaan pengangkutan awam, antaranya dengan menyediakan perkhidmatan bas perantara dan Bas GoKL dari kawasan perumahan ke stesen utama.

Antara yang akan diwujudkan bagi menyokong sistem pengangkutan awam termasuk perkhidmatan stesen sewa basikal atau e-skuter selain perancangan catchment area atau kawasan tumpuan dengan radius antara 400 meter (m) dan 800m sekitar stesen yang mesra laluan kaki dan kenderaan kecil serta menambah baik kawasan parkir Park and Ride untuk pengguna dari luar pusat bandar.

Maimunah berkata perancangan itu turut menggariskan pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), analisis data perjalanan waktu nyata dan aplikasi pintar untuk maklum balas pengguna dan pemantauan prestasi laluan bas atau rel.

Beliau berkata di bawah PTKL 2040 juga, tujuh kawasan dikenal pasti sebagai pusat perdagangan primer di ibu negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi bandar dan mengurangkan kebergantungan terhadap pusat bandar sedia ada sekali gus menyokong pertumbuhan bandar secara mampan dan inklusif.  

Dalam pelan jangka panjang itu, beliau berkata DBKL merancang pembangunan pusat perdagangan bersepadu yang meliputi pejabat, hab perniagaan, pusat membeli-belah serta kemudahan komersial lain, dengan keutamaan diberi kepada kawasan yang mempunyai akses kepada jaringan pengangkutan awam.

"Tiga kawasan baharu disenaraikan sebagai pusat perdagangan primer iaitu KL Metropolis dan kawasan sekitarnya, Bandar Malaysia serta Pusat Bandar Bukit Jalil. 

"Selain itu, empat kawasan lain yang turut diperkasakan sebagai pusat perdagangan primer adalah sebahagian kawasan Pusat Bandar Raya, KL Sentral dan sekitar, Bangsar South dan Media City serta Pusat Bandar Damansara agar lebih berdaya saing seterusnya menjadikan Kuala Lumpur bandar raya global," katanya.

Beliau berkata KL Metropolis dirancang untuk mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital yang menggalakkan aktiviti perdagangan secara digital, selain menyediakan perkhidmatan sokongan seperti pusat perkhidmatan satelit (Kuala Lumpur Internet City, KLIC).

Sementara itu, PTKL2040 turut mengenal pasti tiga lokasi strategik di pusat bandar raya sebagai Zon Perbankan Fintech iaitu Jalan Ampang-Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail-Jalan Raja Chulan dan Jalan Tun Razak-Tun Razak Exchange (TRX)

"Jalan Ampang-Jalan Tun Razak dikenal pasti sebagai kawasan yang aktif dengan aktiviti perniagaan dan perbankan serta dilengkapi kemudahan infrastruktur digital, Jalan Sultan Ismail-Jalan Raja Chulan pula akan ditambah baik dari segi infrastruktur dan persekitaran perniagaan agar lebih kondusif.

"TRX pula berfungsi sebagai pemangkin baharu sektor kewangan bandar menerusi gabungan pusat beli-belah bertaraf antarabangsa, Menara Exchange 106 dan TRX Residence," katanya. 

Maimunah berkata aktiviti kewangan di zon berkenaan akan diperkukuh dengan pembangunan sistem teknologi kewangan (fintech) serta penaiktarafan infrastruktur jalur lebar, sejajar dengan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya global yang berdaya saing, tersusun dan mampan menjelang 2040.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan