KANGAR, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM1.61 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Projek Penilaian Potensi Pembangunan Perlis Geopark untuk Pengekalan dan Pemuliharaan Sumber Semula Jadi Negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata projek itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi membantu kerajaan negeri dari sudut teknikal termasuk kajian saintifik tentang sumber geotapak dan program kesedaran bersama masyarakat.
"Projek ini bermula pada 2024 hingga 2025. NRES yakin kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dapat memastikan geopark diurus dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan berkepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.
"Pelbagai kajian dan usaha perlu dilakukan meliputi pengumpulan maklumat kepelbagaian geologi, flora, fauna, sejarah dan arkeologi, tamadun dan budaya penduduk," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis Pemasyhuran Perlis Geopark sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer dekat sini, yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selain dihadiri Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Huang berkata sehingga kini kementerian telah memberi pengiktirafan Geopark Kebangsaan kepada 11 geopark, manakala dua geopark telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark iaitu Langkawi dan Kinabalu.
"Perlis telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-10 di bawah Program Pembangunan Geopark oleh kerajaan Persekutuan melalui NRES.
"Pengiktirafan ini diberikan pada 9 November 2023 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan. Perlis merupakan satu-satunya geopark yang melibatkan sebuah negeri kerana sebelum ini sempadan geopark melibatkan kawasan-kawasan yang tertentu sahaja," katanya.
Menurutnya Perlis Geopark mempunyai 23 geotapak iaitu tiga daripadanya bertaraf antarabangsa, 14 bertaraf kebangsaan dan enam bertaraf tempatan serta lapan biotapak dan 12 tapak budaya.
Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin ketika bertitah pada majlis itu berharap kerajaan negeri sentiasa memandang serius dalam merangka agenda pembangunan Perlis Geopark untuk jangka masa panjang supaya khazanah bumi negeri itu berkekalan.
"Saya percaya dengan adanya faktor muka bumi negeri yang unik akan menjadi satu peluang dan ruang untuk kerajaan negeri meneroka potensi-potensi baharu yang dapat menggerakkan Perlis Geopark untuk terus melangkah ke hadapan dan duduk sebaris bersama geopark lain yang bertaraf UNESCO.
"Saya berharap pengiktirafan ini dapat dijadikan sebagai salah satu pemangkin untuk Perlis terus menempa nama dan mendapat perhatian ramai terutamanya dalam sektor geopelancongan," titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial