PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Simbol ketahanan kehidupan nomad dan warisan budaya menjadi tumpuan di sini hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov menghadiri upacara tradisional Yurt Kyrgyz sempena lawatan rasmi Presiden negara itu ke Malaysia.
Majlis itu menampilkan “Boz Ui”, iaitu “yurt” atau khemah tradisional Kyrgyz yang memukau tetamu Malaysia dengan struktur bulat uniknya, lapisan kain felt dan kerangka kayu - bukti ketahanan dan kepintaran masyarakat nomad Kyrgyz dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran.
“Boz Ui”, yang bermaksud Rumah Kelabu dalam bahasa Kyrgyz, telah digunakan sejak berabad-abad lamanya sebagai kediaman utama oleh penggembala Kyrgyz bagi merentasi padang rumput yang luas, lembah dan kawasan pergunungan di Asia Tengah.
Anwar dan Zhaparov bersama-sama melangkah masuk ke dalam “Boz Ui” tradisional itu, diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud - menandakan momen pertukaran budaya dan solidariti antara kedua-dua negara.
Direka dengan penuh kebijaksanaan untuk kehidupan berpindah-randah mengikut musim, “yurt” ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal, malah melambangkan identiti budaya - kukuh menahan cuaca ekstrem, namun cukup mudah untuk dibuka dan dipasang semula ketika mana keluarga mengikuti ternakan mereka merentasi padang ragut.
Upacara itu menawarkan pengalaman kepada rakyat Malaysia untuk menyelami gaya hidup tradisional masyarakat Kyrgyz dan menjadi lambang persahabatan serta penghargaan bersama antara Malaysia dan Republik Kyrgyz.
Acara ini diadakan sempena lawatan rasmi pertama Presiden Zhaparov ke Malaysia selama dua hari, sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.
Menurut Wisma Putra kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Mereka akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan serta pembangunan belia.
Surat hasrat mengenai kerjasama perundangan dan pertukaran nota latihan diplomatik juga berada dalam agenda.
Anwar menganjurkan majlis jamuan tengah hari rasmi di Seri Perdana di sini hari ini bagi meraikan Presiden Zhaparov dan delegasinya.
Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti manakala import utama Republik Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektronik serta makanan diproses.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial