KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung-julung kali diadakan, menandakan satu bab baharu dalam kerjasama strategik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan alu-aluan pada majlis makan malam gala di sini, beliau menyifatkan transformasi luar biasa yang dilalui negara GCC sebagai “ekonomi paling pesat berkembang dan paling aman di dunia”, dipacu oleh teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut menekankan bahawa ASEAN menganggap China sebagai sahabat yang amat dihargai, dan menambah meskipun berdepan realiti geopolitik kompleks, rantau ini komited kepada penglibatan yang konstruktif.
“Ia merupakan pertemuan pemikiran (untuk) mereka yang mahu membangunkan negara, yang percayakan kemerdekaan, hak asasi, demokrasi serta mereka yang ingin meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” kata beliau pada majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini malam ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan penghargaan atas kehadiran Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah dan Perdana Menteri China Li Qiang ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, menyifatkan kehadiran mereka sebagai lambang persahabatan dan kepercayaan yang berkekalan antara rakan serantau.
“Ia bukan sekadar pertemuan antara negara, tetapi sokongan, kasih sayang dan kepercayaan pemimpin ASEAN tiada tandingannya dan istimewa.
“Kepada Perdana Menteri Li Qiang, yakinlah bahawa ASEAN di sini sebagai sahabat China, dan kerjasama ini perlu diteruskan atas kepercayaan bersama,” kata beliau.
Putera Mahkota Kuwait mengetuai delegasi ke sidang kemuncak berkenaan, mewakili Emir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
Di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang turut menyaksikan penganjuran sidang kemuncak tiga pihak antara ASEAN, GCC dan China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial