KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menjuarai kategori Anugerah Matlamat Pembangunan Mampan 6 (SDG 6) pada Anugerah Air Global 2026 di Madrid, Sepanyol pada Selasa lepas.
IWK dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah yang disampaikan oleh Global Water Intelligence (GWI) itu mengiktiraf penyertaan syarikat bertajuk Solar-powered Sanitation: No Upfront Cost, Cuts Emissions, yang mempamerkan bagaimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu memperkukuh prestasi operasi rawatan air sisa kumbahan, di samping memacu pembangunan infrastruktur mampan serta memperkukuhkan daya tahan kewangan.
IWK memaklumkan program yang memenangi anugerah itu melibatkan pelaksanaan sistem tenaga solar di 16 loji rawatan kumbahan di seluruh negara menerusi model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
“Inisiatif ini menjana kapasiti tenaga solar sebanyak 6.3 MWp serta menghasilkan kira-kira 7,700 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun bagi menyokong rawatan hampir 148 juta m3 air sisa kumbahan setiap tahun.
“Inisiatif ini dijangka menjimatkan kira-kira RM41.8 juta kos elektrik daripada grid, di samping mengurangkan lebih 5 Gg pelepasan karbon dioksida (CO₂) setiap tahun,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam dalam kenyataan sama berkata kelestarian menjadi teras kepada setiap aspek operasi syarikat dan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan IWK untuk terus memperkukuh usaha memastikan kemampanan, bukan sahaja dari sudut alam sekitar malah aspek kewangan.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Penerbit GWI Christopher Gasson berkata inisiatif IWK dilihat menyerlah kerana menunjukkan bagaimana pembiayaan inovatif dan tenaga boleh diperbaharui dapat digabungkan secara berkesan dalam infrastruktur sanitasi asas.
“Dengan menghasilkan impak operasi, alam sekitar dan kewangan yang boleh diukur tanpa memerlukan perbelanjaan modal awam di peringkat awal, IWK telah mewujudkan satu model yang boleh dijadikan rujukan oleh utiliti di seluruh dunia dalam usaha mencapai SDG 6 serta membina sistem air yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Anugerah Air Global yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Air Global bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang, kepimpinan dalam kelestarian serta inovasi teknologi dalam industri air global.
Pada 2023, IWK turut menerima Distinction di Global Water Awards bagi kategori Agensi Air Awam Terbaik.
-- BERNAMA
