AM

LEBIH 8,500 NOTIS PENGOSONGAN TANGKI SEPTIK PREMIS DOMESTIK DIKELUARKAN DI PERLIS PADA 2025

20/05/2026 08:59 PM

KANGAR, 20 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan 8,520 notis pengosongan tangki septik dikeluarkan kepada pemilik premis domestik di Perlis sepanjang tahun lepas, namun tahap pematuhan masyarakat masih rendah.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata daripada jumlah itu, hanya 302 pemilik atau kira-kira 3.5 peratus melaksanakan kerja pengosongan tangki tersebut.

“Walaupun Indah Water Konsortium (IWK) giat menjalankan program libat urus termasuk dengan penduduk, ketua kampung, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan, tahap kesedaran masyarakat masih amat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Mengejut (Ops Haruman) di sini hari ini.

Operasi tiga hari bermula semalam, membabitkan pemeriksaan terhadap 205 premis di sekitar Kangar terdiri daripada 74 premis komersial dan 131 premis domestik yang dikenal pasti gagal melaksanakan pengosongan tangki septik berjadual.

Ainal Yusman berkata terdapat juga pemilik rumah yang mengaku tidak pernah melakukan kerja pengosongan tangki septik sejak mendiami kediaman sejak era 1980-an.

Beliau berkata ramai beranggapan sistem pembentungan mereka tidak bermasalah selagi tandas tidak tersumbat sedangkan tangki septik yang tidak disenggara boleh hilang keupayaan merawat air kumbahan.

“Kesannya air kumbahan tidak terawat boleh melimpah ke longkang, mencemarkan sumber air, mengeluarkan bau busuk dan menimbulkan kacau ganggu kepada jiran,” katanya.

Sementara itu, Ainal Yusman berkata bagi kategori komersial, hanya 22 premis atau 1.8 peratus daripada 1,209 notis yang dikeluarkan pada tahun lepas melaksanakan kerja nyahenap cemar tangki septik masing-masing.

Beliau berkata berdasarkan Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) (Pindaan) 2023, pengosongan tangki septik perlu dilakukan sekali setiap dua tahun bagi premis dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tiga tahun sekali bagi premis luar kawasan PBT.

Pemilik tangki septik yang gagal menyenggara sistem pembetungan dan tidak melantik pemegang lesen atau permit untuk menjalankan kerja pengosongan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000, jika disabitkan kesalahan.

Ainal Yusman berkata sebanyak 20,063 tangki septik individu direkodkan di Perlis setakat ini manakala lebih 1.38 juta tangki septik individu di Semenanjung Malaysia dan Labuan setakat tahun lepas.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan