KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- DRB-HICOM Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih lebih dua kali ganda kepada RM45 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM17.72 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-HICOM menyatakan peningkatan itu disumbangkan oleh keuntungan yang lebih kukuh daripada Proton Holdings Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Bhd.
Syarikat itu memaklumkan kerugian Pos Malaysia Bhd yang lebih kecil turut menyokong prestasi tersebut, mencerminkan jualan yang lebih kukuh, kecekapan kos yang bertambah baik dan disiplin kos yang berterusan.
Bagaimanapun, konglomerat itu menyatakan pendapatan bagi suku tersebut sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perkhidmatan dan hartanah.
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2026, DRB-HICOM mendapati hasilnya meningkat kepada RM4.76 bilion daripada RM4.11 bilion pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen mobiliti, perbankan dan pos.
Mengenai prestasi Proton, DRB-HICOM menyatakan pengeluar kereta nasional itu menunjukkan momentum yang kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2026 dengan jualan meningkat 40.1 peratus tahun ke tahun kepada 49,140 unit.
“Ia berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan, disokong oleh segmen kenderaan elektriknya yang semakin berkembang,” tambahnya.
Dalam segmen perbankan, kumpulan itu menyatakan ia terus memperkukuh kedudukannya dalam kewangan Islam dan memajukan inisiatif pengembangan digital.
Bagi segmen pos, ia memaklumkan Pos Malaysia kekal fokus untuk mengurangkan kerugian melalui pelan transformasinya, disokong oleh rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat terhadap asas kos serta campuran hasilnya.
Pada masa hadapan, DRB-HICOM menjangkakan prospek tahun kewangan 2026 adalah sederhana di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.
-- BERNAMA
