AM

TAKAFUL BENTENG KEWANGAN HADAPI KETIDAKTENTUAN GEOPOLITIK GLOBAL - MTA

20/05/2026 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Perlindungan takaful dan insurans tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi tekanan kepada ekonomi dan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed sebaliknya berkata ia menjadi keperluan penting dalam membantu individu dan keluarga menghadapi risiko luar jangka.

Mohd Radzuan berkata ketika berdepan cabaran ekonomi, ramai cenderung mengurangkan komitmen perlindungan bagi menjimatkan perbelanjaan, sedangkan langkah itu boleh mendedahkan mereka kepada tekanan kewangan lebih besar sekiranya berlaku musibah seperti kemalangan atau masalah kesihatan.

“Dalam mana-mana kemelesetan pun, perkara pertama yang orang akan buang ialah takaful atau insurans sebab dirasakan membebankan. Tetapi sebenarnya, yang itu paling perlu apabila kita menghadapi musibah,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, Mohd Radzuan optimis kesedaran kewangan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, dapat mengubah corak pemikiran pengguna daripada terus bertindak membatalkan perlindungan mereka.

Seiring keperluan memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai perlindungan kewangan, beliau berkata MTA komited memperkasakan profesionalisme dan kualiti kepimpinan perunding takaful menerusi Program Laluan Profesional Penasihat Takaful (TAPP).

Mohd Radzuan berkata langkah itu disokong melalui penganjuran Sidang Kemuncak Ejen dan Pemimpin Takaful (TLAS), bagi melahirkan usahawan yang bukan sahaja mengejar sasaran jualan, malah bertindak sebagai duta literasi kewangan negara.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Bintang Takaful 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC) yang dihadiri lebih 800 agen dan warga industri takaful.

Pada majlis anugerah itu, sebanyak 67 penerima menerima pengiktirafan merentasi 25 kategori bagi meraikan kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan luar biasa dalam industri takaful di negara ini.

Kemuncak majlis itu menyaksikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Trailblazer bagi tahun ini, atas usaha cemerlang agensi berkenaan menyediakan kemudahan program i-Lindung, yang membuka akses lebih luas kepada pencarum untuk mendapatkan pelbagai pilihan produk perlindungan takaful.

Anugerah Tokoh Kembara Takaful pula diberikan kepada pakar rujukan kewangan Islam antarabangsa,  Prof Datin Dr Rusni Hassan, bagi menghargai jasa besar beliau dalam dunia penyelidikan takaful serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat membantu kumpulan B40.

Dalam pada itu, Mohd Radzuan berkata pencapaian cemerlang perunding dan penggiat industri pada tahun lepas amat membanggakan, memandangkan ia tidak lagi dimonopoli oleh satu atau dua syarikat gergasi semata-mata.

Beliau berkata perkembangan positif itu turut diterjemahkan kepada lonjakan pembayaran zakat oleh industri takaful yang mencecah RM52 juta pada 2024, berbanding hanya RM500,000 pada 2014.

“Nombor itu sebenarnya bukan bermaksud sebab kita banyak buat perniagaan… ia melambangkan takaful ini berusaha untuk memberikan semula kepada komuniti. Itu memang sudah ada dalam DNA kita iaitu konsep tolong-menolong atau taawun,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan