PETALING JAYA, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 934 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan keseluruhan kira-kira RM300,000 dengan skop penerima diperluas kepada pelajar yang memperoleh keputusan 4A hingga 11A.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata peluasan itu dibuat bagi memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar menikmati sumbangan berbanding sebelum ini, yang hanya tertumpu kepada calon yang memperoleh keputusan 7A ke atas.
“Sebanyak 934 pelajar SPM 2025 telah menerima sumbangan dan sebenarnya tahun ini kita telah tingkatkan … RM300,000 yang telah disalurkan kepada semua pelajar cemerlang SPM 2025.
“Sebelum ini kita buat hanya untuk 7A ke atas, tapi tahun ini saya bagi 4A, 5A, 6A pun turut dapat sekali. Jadi 4A hingga 11A,” katanya kepada pemberita selepas program Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Parlimen Sungai Buloh, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh mengumumkan sumbangan 10,000 unit basikal percuma kepada belia di kawasan itu, dan dijangka diagihkan dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan golongan muda lebih aktif bergerak di luar kawasan persekitaran yang kebiasaannya tertumpu di lokasi tempat tinggal masing-masing.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ramanan berkata kejayaan dalam SPM bukan lagi sekadar ukuran kecemerlangan akademik, sebaliknya titik permulaan kepada perjalanan lebih besar ke arah pembentukan tenaga kerja masa hadapan negara.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberikan fokus untuk memastikan kecemerlangan pelajar terus dipupuk dan diterjemahkan kepada potensi diri yang menyeluruh, sekali gus membuka peluang pendidikan, kerjaya dan mobiliti sosial yang lebih luas.
KESUMA menerusi agensinya turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan bakat dan kemahiran, termasuk laluan pendidikan berkualiti tinggi melalui Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
-- BERNAMA
