KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, pesakit masalah paru-paru dan warga emas uzur di Kuantan, Pahang menerusi Program Ziarah MADANI Indera Mahkota.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili Anwar semasa menziarahi penerima bantuan di beberapa lokasi di daerah berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri, Ahmad Farhan berkata beliau menziarahi seorang ibu tunggal dikenali sebagai Larna di Kampung Balok yang tabah meneruskan kehidupan demi keluarga.
“Dalam ziarah ini, saya telah sampaikan bantuan dan kotak makanan bagi pihak Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
“Semoga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung serta memberikan sinar harapan buat Puan Larna sekeluarga,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Ahmad Farhan berkata beliau turut menyampaikan sumbangan dan kotak makanan mewakili Perdana Menteri kepada Mohd Firdaus Mohd Zain di Kampung Balok Pantai yang kini terlantar akibat masalah paru-paru berpunca daripada kemalangan.
Beliau berkata Mohd Firdaus berdepan dengan masalah sesak nafas dan sakit saraf serta bergantung pada alat bantuan pernafasan untuk meneruskan kehidupan harian.
Ahmad Farhan turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada wanita warga emas dikenali sebagai Hindon yang berusia lebih 100 tahun yang kini uzur dan berkerusi roda.
Selain itu, Ahmad Farhan berkata Program Ziarah MADANI Indera Mahkota turut diteruskan di Kampung Balok Pantai bagi menyantuni kediaman seorang nelayan Zamrifaizal Dzuani.
Beliau berkata permohonan bantuan pembinaan bilik tambahan telah dikemukakan bagi memastikan keselesaan keluarga mereka lebih terjamin berikutan ruang rumah sedia ada tidak mencukupi untuk menampung ahli keluarga yang ramai.
"Insya-Allah, permohonan ini akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. Sedikit sumbangan turut disampaikan mewakili Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
