SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,675 individu didaftarkan sebagai mualaf di seluruh negeri ini sepanjang 2025, mencerminkan keberkesanan gerak kerja pengurusan pengislaman yang sistematik di negeri itu.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata sebanyak 772 individu, iaitu 82.1 peratus didaftarkan melalui Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) yang terdiri daripada institusi masjid dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK), manakala selebihnya melalui ibu pejabat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta pejabat agama Islam daerah (PAID).
"Pencapaian pendaftaran 1,675 mualaf sepanjang tahun lepas satu perkembangan positif yang menunjukkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap sistem pengurusan pengislaman yang kita sediakan di Selangor.
"Oleh sebab itu, PPP MAIS akan menerima sumbangan sagu hati berjumlah RM94,000 sebagai tanda penghargaan dalam membantu gerak kerja pengurusan pengislaman yang memudahkan serta melancarkan lagi proses pendaftaran mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah PPP 2026 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.
Turut berlangsung, penyampaian Sijil Penghargaan PPP MAIS kepada penerima yang telah memberikan komitmen cemerlang dalam memperkukuh usaha pengurusan pengislaman di Selangor.
Salehuddin berkata sumbangan menggunakan peruntukan dana zakat itu diagihkan kepada 41 PPP dengan jumlah antara RM100 hingga RM24,400 bagi setiap pusat, bergantung kepada jumlah pendaftaran yang dilaksanakan mereka sepanjang tahun.
"Sumbangan ini bertujuan memberikan galakan dan motivasi kepada PPP MAIS yang telah berjaya menguruskan proses pendaftaran pengislaman dengan sempurna sepanjang 2025.
"Ia juga pengiktirafan kepada peranan pusat ini dalam membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi aspek penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada asnaf mualaf di negeri ini," katanya.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor adalah antara penerima utama sumbangan apabila mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi, selain Hidayah Centre Foundation (HCF) dan beberapa organisasi dakwah lain.
Mengulas lanjut, Salehuddin berkata pihaknya telah menyediakan 41 PPP di seluruh Selangor bagi memastikan akses kepada bimbingan dan pendaftaran pengislaman dapat diberikan secara lebih efektif kepada masyarakat.
"PPP MAIS memikul tanggungjawab besar dalam memberikan konsultasi kepada individu yang berhasrat memeluk Islam supaya mereka dapat melakukannya dengan suci hati tanpa sebarang paksaan.
"Pihak kami (MAIS) sentiasa memastikan setiap prosedur dipatuhi agar kebajikan mualaf terpelihara sejak hari pertama mereka mendaftarkan pengislaman di bawah seliaan MAIS," katanya.
-- BERNAMA
