KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta mulai tahun ini berbanding RM100 juta sebelum ini disifatkan sebagai detik bersejarah buat komuniti India di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata tambahan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini adalah kali pertama peruntukan bagi agensi itu dinaikkan sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas tambahan RM50 juta ini. Sejak penubuhan MITRA, termasuk ketika masih dikenali sebagai Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), peruntukannya tidak pernah dinaikkan dan kekal sekitar RM100 juta selama lebih 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
MITRA yang sebelum ini berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kini dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
MITRA, yang sebelum ini dikenali sebagai SEDIC, adalah unit khas yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata beliau menghargai komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan komuniti India menerusi pelbagai inisiatif pembangunan sosioekonomi.
Katanya bantuan kepada komuniti India tidak hanya tertumpu kepada peruntukan MITRA semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelbagai program di bawah kementerian dan agensi kerajaan lain.
“Kerajaan sebelum ini turut menyediakan RM100 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN 2.0).
“Selain itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) turut menyediakan RM100 juta khas untuk komuniti India, manakala SME Bank memperuntukkan RM50 juta bagi usahawan India,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ramanan berkata MITRA kini memasuki fasa baharu yang lebih strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan masyarakat India mulai tahun depan.
“Dalam hala tuju baharu ini, MITRA akan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh meliputi peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi termasuk latihan teknikal berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata MITRA juga akan meneroka kerjasama strategik termasuk latihan teknikal di luar negara bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran belia India di peringkat nasional.
-- BERNAMA
