AM

KUSKOP BERI SOKONGAN, BANTU SYARIKAT BERPRESTASI TINGGI DISENARAIKAN DI BURSA MALAYSIA - EWON

02/10/2025 03:54 PM

SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi sokongan berterusan kepada syarikat berprestasi tinggi bagi membantu mereka disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata antara inisiatif yang dijalankan adalah Program Pembangunan Vendor, yang melibatkan 38 syarikat anchor terdiri daripada pemain industri utama negara, yang telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUSKOP.

Beliau berkata program itu membuka peluang kepada vendor yang berdaftar dengan syarikat anchor untuk mendapat bimbingan latihan, khidmat teknikal dan nasihat, serta pembangunan penyelidikan.

“Usaha ini bertujuan memperkukuh daya saing vendor tempatan agar mampu menembusi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Syarikat Glide Technology Sdn Bhd di sini, hari ini.

Ewon berkata inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan sosioekonomi negara serta meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Ewon berharap Belanjawan 2026, yang akan dibentangkan pada 10 Okt depan, akan terus menekankan penskalaan PMKS, gerakan koperasi, pembangunan industri francais, serta agenda pembangunan perusahaan informal dan mikro.

“Ini antara ‘wishlist’ KUSKOP dan sudah tentu ia berasaskan fokus-fokus ini. Saya amat menghargai komitmen Kementerian Kewangan yang telah mengadakan sesi libat urus dengan kita,” katanya.

Pada majlis sama, Ewon turut melancarkan MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, iaitu minyak penebat pertama berasaskan 100 peratus minyak sawit yang dihasilkan syarikat Bumiputera Glide Technology Sdn Bhd hasil kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata sokongan KUSKOP melalui pelbagai inisiatif pembangunan vendor mampu memperkukuh kedudukan Glide Technology dalam ekosistem keusahawanan negara, sekali gus menjadi pemacu penciptaan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan