KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd masing-masing mengekalkan tinjauan positif terhadap sektor perbankan Malaysia, yang kukuh dari segi asas dan terus menawarkan pilihan bersifat defensif yang menarik.
Dalam nota penyelidikan hari ini, MBSB Investment Bank menjelaskan pengambilan untung dalam industri baru-baru ini telah mewujudkan peluang belian yang baik susulan penilaian menggalakkan terhadap sektor.
Menurut bank pelaburan itu, kelebihan sektor perbankan termasuk pulangan dividen yang menarik, prospek pertumbuhan aset yang positif serta perolehan yang dijangkakan berdaya tahan.
"Bagaimanapun, cabaran masih wujud, terutama dari segi kualiti aset atau isu peruntukan, memandangkan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat sangat tidak menentu.
"Walaupun pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan tidak lagi dilihat sebagai ancaman namun, persaingan deposit semakin sengit, sekali gus memberi tekanan kepada margin faedah bersih," tambahnya.
Sementara itu, RHB Investment Bank menjelaskan pihaknya juga memberi saranan “overweight” terhadap sektor perbankan Malaysia berasaskan pertumbuhan pinjaman yang berdaya tahan, mudah tunai yang positif serta kekukuhan penampan modal.
Bank pelaburan itu memaklumkan pertumbuhan pinjaman sistem meningkat kepada 5.7 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026, dipacu kekukuhan berterusan segmen bukan isi rumah manakala kelulusan pinjaman lebih tinggi untuk menyokong momentum pertumbuhan sektor itu.
Kualiti aset kekal boleh urus walaupun terdapat sedikit peningkatan pinjaman rosot nilai kasar, jelasnya dalam nota penyelidikan berasingan.
Setakat pukul 12.10 tengah hari, kaunter perbankan di Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Maybank susut empat sen kepada RM10.74, Public Bank turun satu sen kepada RM4.79, manakala RHB berkurangan enam sen kepada RM8.22.
Hong Leong Bank pula naik lapan sen kepada RM21.48, AMMB menokok dua sen kepada RM6.39, sementara CIMB menambah empat sen kepada RM7.45.
-- BERNAMA
