EKONOMI

REDTONE LANGGAN MTN ANAK SYARIKAT BERJAYA CORPORATION BERNILAI RM13 JUTA

29/06/2026 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- REDtone Digital Bhd melanggan nota jangka sederhana (MTN) bernilai RM13 juta yang diterbitkan oleh anak syarikat Berjaya Corporation Bhd, Berjaya IPS Equity Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, REDtone Digital menyatakan langganan itu merupakan sebahagian daripada program MTN dengan saiz agregat sehingga RM500 juta dan menawarkan kadar kupon tetap sebanyak tujuh peratus setahun, yang dibayar setiap setengah tahun.

"Nota itu mempunyai tempoh matang awal selama satu tahun daripada tarikh terbitan, dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga 30 tahun, serta tidak diberi penarafan, tidak bercagar dan tidak disenaraikan di mana-mana bursa.

“Langganan ini memberi peluang kepada REDtone untuk mengoptimumkan penggunaan dana dalamannya dengan melabur dalam MTN yang menawarkan kadar pulangan lebih tinggi iaitu tujuh peratus setahun berbanding simpanan dalam deposit konvensional,” tambahnya.

Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan ejen kemudahan untuk MTN berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan