AM

SYARIKAT TEKNOLOGI GERGASI TIDAK MENGATASI UNDANG-UNDANG - FAHMI

10/07/2025 08:38 AM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 10 Julai (Bernama) -- Syarikat teknologi gergasi (Big Tech) tidak mengatasi undang-undang mana-mana negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setiap negara berdaulat mempunyai undang-undang yang berfungsi untuk pelbagai tujuan dan perlu dipatuhi termasuk oleh syarikat teknologi gergasi berkenaan.

"Terdapat peraturan yang ditetapkan untuk keselamatan dan syarikat ini perlu akur dengan undang-undang," katanya pada sesi panel Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di sini pada Rabu.

Fahmi berkata dengan mengambil kira perkara ini, Malaysia telah mengambil peranan utama dalam merangka Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab.

"Garis panduan ini akan membantu, mungkin sebagai penyuluh cahaya buat negara ASEAN supaya dapat bergerak ke hadapan dengan selamat, sambil menghormati kedaulatan masing-masing dan juga prinsip pemusatan ASEAN.

"Dengan cara itu, kami berharap dapat memiliki suara yang lebih besar dan lebih kuat," katanya.

Malaysia mengambil peranan utama dalam merangka garis panduan berkenaan yang disasarkan sebagai rujukan serantau yang tidak mengikat secara undang-undang, namun menyediakan prinsip bersama, amalan terbaik dan cadangan praktikal kepada kerajaan, platform dan pengguna dalam menangani isu keselamatan dalam talian dan memupuk kesejahteraan siber merentasi negara anggota.

Garis panduan itu juga bertujuan menggalakkan kerjasama antara sektor maklumat ASEAN dengan platform media sosial untuk menangani kandungan dalam talian yang berbahaya, sambil melindungi kebebasan bersuara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan