JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM SIASAT REMAJA BRITAIN DILAPORKAN HILANG

10/07/2025 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kehilangan seorang remaja lelaki warganegara Britain yang dilaporkan tiba di negara ini pada 7 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata remaja berkenaan David Renz Galletes Balisong, 17, dikesan memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai masih berada dalam negara.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti segala maklumat yang boleh membantu usahapengesanan dan penyelesaian kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan gambar remaja berkenaan turut diedarkan bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

“Sekiranya mempunyai maklumat, orang awam diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Hazuin Jan Abdul Hamid dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 017-7369187,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan