AM

OPERASI HAJI 1446H/2025M PALING BAIK, DIIKTIRAF KERAJAAN ARAB SAUDI - MOHD NA’IM

10/07/2025 11:45 PM

SEPANG, 10 Julai (Bernama) -- Pengurusan operasi haji bagi tahun 1446H/2025M adalah yang terbaik dan mendapat pujian serta pengiktirafan kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

Beliau berkata bagi operasi haji kali ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menerima Anugerah Tertinggi Labaytum 'Diamond Award' untuk pengurusan jemaah haji terbaik dunia daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Bagi tahun operasi 1446H/2025M ini agak istimewa sebab kita menerima ‘Diamond Award’, ia satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada TH hasil daripada pengurusan yang terbaik.

“Ia adalah usaha yang ditunjukkan oleh semua pihak, khususnya daripada pihak pengurusan tertinggi hingga kepada warga kerja TH. Kerja berpasukan antara faktor bagaimana pengurusan TH berjaya berjalan dengan baik,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 264 orang jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun. 

Mohd Na’im berkata pada operasi haji kali ini, sebanyak 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci berbanding 28 orang pada tahun sebelumnya.

“Kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia ini ada kaitan dengan (penyakit) jantung…sebanyak 20 jemaah haji diserang sakit jantung dan meninggal dunia manakala dua orang mungkin disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Sementara itu, beliau memuji jemaah haji Malaysia yang berdisiplin dan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

Selain itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada semua organisasi media yang membuat liputan dengan baik pada operasi haji tahun ini.

“Laporan media bukan sahaja dapat menaikkan imej TH malah rakyat dapat lihat setiap usaha dan kerja yang dilakukan oleh warga TH dalam memastikan jemaah dapat melakukan ibadat haji dengan sempurna tanpa ada perlu rasa bimbang dari segi keselamatan dan kesihatan,” katanya. 

Beliau berkata operasi bagi tahun 1446H/2025M akan tamat secara rasmi dengan ketibaan 232 orang jemaah haji daripada kumpulan terakhir esok, pada 12.10 tengah hari.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan