AM

CHINA TERUS SUMBANG DANA KEPADA RCEP, GESA ASEAN+3 PERKUKUH RESPONS KRISIS

10/07/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai  (Bernama) -- China bersedia untuk terus menyumbang kepada dana kerjasama ekonomi dan teknikal di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi membantu negara anggota ASEAN meningkatkan keupayaan pelaksanaan perjanjian itu.

Menteri Luar China Wang Yi berkata sejak tiga tahun pelaksanaannya, RCEP telah memberi lonjakan ketara kepada perdagangan dan pelaburan serantau dengan jumlah perdagangan mencecah USD5.7 trilion pada 2024, peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kita harus bekerjasama untuk merangsang pemacu pertumbuhan baharu dan melaksanakan secara berkesan segala persetujuan yang dicapai oleh para pemimpin kita terutama dalam bidang seperti kenderaan elektrik, rantaian bekalan dan keterhubungan,” katanya.

Beliau berkata China berhasrat memperluas kerjasama dalam transformasi digital, pembangunan hijau dan rendah karbon selain menggalakkan pertukaran dalam bidang pendidikan, budaya dan pelancongan, media serta badan pemikir bagi memperkukuh hubungan sesama rakyat dan menyuntik tenaga baharu kepada pembangunan Asia Timur.

Bercakap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-26 (10+3) yang diadakan pada Khamis, Wang turut mengalu-alukan penubuhan kemudahan pembiayaan pantas di bawah Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai (CMIM) yang dibiayai menggunakan mata wang yang boleh digunakan secara bebas.

Beliau berkata pada Mei lepas, China telah menyalurkan sumbangan tambahan sebanyak USD4 juta kepada Tabung Amanah Bantuan Teknikal China di Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) bagi menyokong pembinaan kapasiti negara anggota dalam mengekalkan kestabilan kewangan.

“Mekanisme Simpanan Kecemasan Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR) sedang berjalan dengan lancar. China telah memenuhi komitmen kewangannya untuk suku tahun ini dan sedang giat mengumpul stok fizikal,” katanya.

Wang berkata kerangka kerjasama ASEAN Campur Tiga telah mencapai kejayaan yang signifikan, menyumbang kepada kemunculan Asia Timur sebagai antara rantau paling dinamik dan pesat berkembang di dunia.

Beliau berkata konsep ‘komuniti berkongsi nasib sesama insan’ antara negara-negara ini mencerminkan perpaduan dan kerjasama yang bukan sahaja penting malah tidak dapat dielakkan.

Wang turut menyeru ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan untuk terus memperkukuh keupayaan respons krisis bersama mereka.

“Secara keseluruhan, prospek di Asia Timur kekal positif, dengan pembangunan dan kerjasama terus menjadi tumpuan utama. Namun begitu, cabaran daripada aliran unilateralisme dan proteksionisme masih berterusan.

“Semakin rumit situasi global, semakin penting untuk kita seiring dengan arus utama, menghapuskan gangguan, menggalas tanggungjawab, bekerjasama dengan penuh solidariti dan terus memperkukuh momentum kerjasama, ketahanan serta integrasi serantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan