EKONOMI

GULA BERTAPIS KEKAL TIDAK DIKENAKAN CUKAI DI BAWAH SEMAKAN SST - MOF

20/06/2025 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Gula bertapis atau lebih dikenali sebagai gula putih, kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataannya hari ini, MOF berkata gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak lima peratus.

“Namun, seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pengilang dan penapis gula seperti MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan inputnya.

“Sehubungan itu, tiada sebab berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis, lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga,” katanya.

Kenyataan MOF itu sebagai mengulas kenyataan MSM mengenai kesan semakan semula Cukai Jualan ke atas gula mentah.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras.

“Ini bertujuan memastikan rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan semakan semula SST,” katanya.

Pada masa sama, katanya, penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).

Semalam, media melaporkan bahawa MSM yang juga pengeluar gula bertapis nasional, sedang meneliti semula kesan peluasan lima peratus SST melibatkan gula mentah dan meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Syed Feizal Syed Mohammad berkata harga runcit gula di Malaysia dihadkan pada RM2.85 sekilogram sejak 2011, meskipun harga gula mentah global meningkat sejak tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata jika cukai itu dikenakan kepada gula mentah, pengeluar gula bertapis negara boleh melepaskan kos berkenaan kepada industri.

"Namun kami tidak boleh berbuat demikian bagi gula (yang dijual di rak-rak runcit) yang berada di bawah harga kawalan,” katanya yang turut menambah sekitar 75 hingga 80 peratus kos pengeluaran MSM berasal daripada gula mentah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan