EKONOMI

PELAKSANAAN SST BERI KESAN MINIMUM KEPADA SEKTOR AUTOMOTIF -- CIMB SECURITIES

20/06/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd (CIMB Securities) telah mengunjurkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada Julai 2025, mempunyai kesan langsung yang terhad kepada sektor automotif.

Dalam satu nota penyelidikan, katanya, jualan kenderaan sudah pun dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus, manakala perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8.0 peratus.

“Oleh itu, mungkin akan berlaku sedikit peningkatan dalam kos pengedar dan penyewaan bilik pameran, susulan langkah itu, walaupun kami percaya kesannya adalah minimum.

“Bagaimanapun, secara tidak langsung sentimen pengguna yang lebih lemah akan mempengaruhi jualan kereta baharu pada separuh kedua 2025 (S2 2025),” katanya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dilaporkan telah mengunjurkan penurunan 4.5 peratus tahun ke tahun dalam jumlah volum industri (TIV) kepada 780,000 unit pada 2025, mengaitkannya dengan normalisasi permintaan dan pengurangan pesanan industri yang tertunggak.

Bagaimanapun, CIMB Securities telah mengunjurkan penurunan mendadak 7.0 peratus tahun ke tahun TIV kepada 760,000 unit, berikutan potensi halangan daripada rancangan penghapusan subsidi petrol RON95 pada S2 2025 dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa ia akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi subsidi kerajaan.

“Namun, kami menjangkakan permintaan dalam sub segmen RM100,000 kekal berdaya tahan, disokong oleh jenama nasional dan model Jepun peringkat permulaan terpilih.

“Kami mengunjurkan jenama nasional untuk mengekalkan penguasaan pasaran 64.5 peratus dalam bahagian pasaran pada 2025, dengan jenama bukan nasional menyumbang baki 35.5 peratus,” katanya.

CIMB Securities juga percaya bahawa penghapusan subsidi minyak akan meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).

Jualan BEV meningkat hampir dua kali ganda tahun ke tahun pada suku pertama 2025 kepada 5,394 unit daripada 2,703 unit setahun lepas, dengan gabungan penembusan BEV dan hibrid naik 1.9 mata peratusan tahun ke tahun kepada 7.3 peratus.

“Dengan pengecualian duti penuh bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport yang dijadualkan tamat menjelang akhir 2025, kerajaan mungkin tidak melanjutkannya melebihi tarikh akhir 31 Dis, 2025, kami menjangkakan potensi lonjakan permintaan EV pada suku keempat 2025 apabila pembeli tergesa-gesa mendapatkan manfaat daripada penjimatan cukai,” katanya.

CIMB Securities telah mengekalkan penarafan ‘neutral’ bagi sektor itu berikutan prospek pertumbuhan yang lemah di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan