AM

JADUAL ELEKTRIK BAHARU: LEBIH 23.6 JUTA PENGGUNA DOMESTIK SEMENANJUNG NIKMATI KADAR LEBIH ADIL

20/06/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun  (Bernama) -- Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, ST mengumumkan penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 hingga 31 Dis, 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen berikut:

(i) kadar purata tarif asas;

(ii) jadual tarif baharu; dan

(iii) mekanisme pelarasan kos bahan api

Penyelarasan Kadar Purata Tarif Asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, tambah ST.

ST menjelaskan berdasarkan pelarasan itu, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

 

Perubahan Struktur Tarif Elektrik Merangkumi Kategori Pengguna, Caj dan Insentif

Pengenalan jadual tarif baharu itu meliputi perkara berikut:

(i) perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana dan tinggi; dan

(ii) penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.

Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemat, jelas ST.

Melalui insentif itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

Pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif tersebut.

Menurut ST, selain itu, skim Masa Penggunaan (TOU) telah diselaraskan dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan mulai 10 malam sehingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat.

“Ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari. Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” jelas ST.

ST memaklumkan bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, kerajaan bersetuju supaya:

(i) tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel atau “traction”;

(ii) pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat; serta

(iii) penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.

ST berkata secara keseluruhan, pendekatan itu bertujuan menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu yang memberi manfaat bersama melalui sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan.

Bagi tujuan itu, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci.

Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu itu, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan malah pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga, menurut suruhanjaya itu.

 

Pembaharuan Mekanisme Pelarasan Kos

Bagi komponen caj tenaga, mekanisme pelarasan kos bahan api baharu yang lebih dinamik iaitu Automatic Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Mekanisme ini membolehkan pelarasan kos penjanaan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing. Maklumat tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST.

 

Pelaksanaan dan khidmat sokongan bagi pengguna

Jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan Julai 2025.

Perincian kadar serta kategori baharu (jika berkaitan) boleh disemak melalui saluran berikut:

- Jadual tarif akan dipaparkan di laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff mulai 21 Jun, 2025, pada pukul 12.00 tengah hari;

- Anggaran kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang boleh diakses seawal-awalnya mulai Isnin, 23 Jun, 2025 melalui laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff

Pengguna digalakkan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, e-mel ke tnbcareline@tnb.com.my atau melalui platform rasmi TNB yang lain untuk sebarang pertanyaan lanjut

 

Komitmen Suruhanjaya Tenaga

Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST komited untuk memastikan pelaksanaan tarif berdasarkan prinsip adil, telus dan mampan bagi memenuhi keperluan dan mengimbangi kepentingan semua pengguna tenaga.

Penstrukturan dan penyelarasan secara menyeluruh itu merupakan langkah penting bagi merealisasikan serta memperkukuh agenda peralihan tenaga negara yang saksama dan inklusif.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan