KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka memberi kesan langsung terhad kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan inflasi kerana hanya menyasarkan barangan bukan perlu serta sektor perkhidmatan terpilih, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Pendekatan bersasar itu, kata bank pelaburan berkenaan, dapat membantu mengurangkan sebarang kesan negatif ketara ke atas perbelanjaan pengguna secara menyeluruh selain mengawal tekanan inflasi.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, RHB IB berkata dari sudut strategik, peluasan cukai jualan itu menumpukan barangan tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan perkhidmatan gaya hidup terpilih berbanding keperluan seperti makanan, penjagaan kesihatan atau utiliti asas.
“Menerusi tindakan sedemikian, dasar itu bertujuan mengurangkan bebanan ke atas pengguna biasa, sekali gus mengehadkan potensi tekanan inflasi lebih meluas serta mengelak pengurangan perbelanjaan isi rumah yang ketara bagi barangan keperluan.
“Sebelum ini, kesan terhadap harga pengguna kekal tidak ketara selepas langkah semakan kadar cukai perkhidmatan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan pada Mac 2024,” katanya.
RHB IB juga mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2025 pada kadar 4.5 peratus dengan mengandaikan ekonomi domestik kekal berdaya tahan.
Menurutnya, skop cukai perkhidmatan sedia ada diperluaskan yang merangkumi enam kategori perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.
Sehubungan itu, kesan langsung peluasan cukai ke atas KDNK diunjur terhad kerana menyasarkan julat kecil rangkaian subsektor seperti perkhidmatan berasaskan fi dan aktiviti mengikut budi bicara yang secara kolektif mewakili hanya sebahagian kecil daripada output ekonomi secara menyeluruh.
“Pengecualian sektor-sektor kritikal seperti makanan, penjagaan kesihatan, utiliti dan pengangkutan awam ini menyaksikan peluasan itu mengelak bebanan ke atas ekonomi secara meluas, sekali gus meminimumkan potensi impak terhadap pertumbuhan,” katanya.
Mengulas risiko inflasi, RHB IB menjangkakan impak langsung peluasan SST terhadap Indeks Harga Pengguna adalah dalam julat 0.1-0.2 peratus tahun ke tahun pada asas tahun penuh.
“Kami menjangkakan kesan limpahan daripada SST itu meluas kepada peningkatan harga makanan dan kos perniagaan ke atas pengguna, meskipun dalam skala terhad,” katanya.
Bagi tempoh separuh kedua 2025, kesan kenaikan inflasi dianggarkan pada kadar 0.3 peratus tahun ke tahun dengan kadar purata inflasi diunjur dalam lingkungan 2.0 peratus.
Menurut bank pelaburan itu, bagi tahun 2025, purata inflasi dijangka pada 1.7 peratus susulan peluasan SST berbanding 1.6 peratus jika tiada pelarasan fiskal dilaksanakan.
“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran inflasi bagi 2025 pada kadar 2.2 peratus yang memaparkan pelaksanaan semula langkah-langkah penyasaran fiskal secara beransur-ansur dan teratur dan sejajar dengan penyederhanaan tekanan permintaan,” katanya.
RHB IB berpendapat sasaran defisit fiskal sebanyak 3.8 peratus daripada KDNK bagi tahun 2025 mampu dicapai susulan peluasan skop SST, pelaksanaan pemacu hasil baharu serta pembaharuan subsidi yang dapat mengecilkan defisit fiskal negara.
Beliau berkata tambahan hasil RM5 bilion daripada peluasan SST itu akan mengurangkan unjuran defisit fiskal daripada RM80 bilion kepada RM75 bilion dengan nisbah defisit fiskal kepada KDNK meningkat kepada 3.6 peratus (berbanding jangkaan 3.8 peratus).
“Peluasan SST akan turut membantu Malaysia mencapai peratusan defisit fiskal daripada sasaran KDNK sebanyak 3.0 peratus dalam 2026.
“Secara keseluruhannya, pendekatan terhadap peluasan SST memaparkan keseimbangan usaha bagi meningkatkan kewangan awam secara mampan tanpa memberi kesan besar ke atas kegiatan ekonomi atau kebajikan pengguna,” katanya.
-- BERNAMA