KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sektor pusat data Malaysia kekal positif di sebalik laporan baru-baru ini yang mendakwa syarikat-syarikat China sedang melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka di pusat data di sini yang dikuasakan oleh cip Nvidia, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu sangat percaya bahawa cip Nvidia yang terlibat merupakan cip generasi terdahulu dan bukan cip terkini GB200, sementara menunggu hasil siasatan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Memandangkan dakwaan itu dikatakan berlaku pada Mac 2025, kami percaya ini mungkin merupakan satu langkah untuk ‘mempercepatkan proses’ sebelum pembatalan Rangka Kerja Penyebaran AI yang dijangka berkuat kuasa pada 15 Mei, 2025," katanya.
Pada Rabu, The Wall Street Journal melaporkan empat jurutera dari Beijing telah terbang ke Malaysia pada Mac, membawa beg pakaian yang mengandungi pemacu cakera keras berkapasiti 80 terabait (TB) yang dipenuhi dengan data, imej dan klip video untuk melatih model kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, menurut MIDF Amanah, tiada sebarang kelembapan atau kelewatan yang ketara dalam projek-projek pusat data yang sedang berjalan di Malaysia berikutan dengan perkembangan terbaru berkenaan.
“Para kontraktor masih aktif membida kerja-kerja pembinaan pusat data yang baharu,” katanya sambil memetik beberapa transaksi berkaitan pusat data dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
MIDF Amanah juga mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor pembinaan dan utiliti kerana ia menjangkakan kontraktor seperti Gamuda, IJM Corp dan Sunway Construction akan terus meraih manfaat daripada rangkaian projek-projek pusat data yang kukuh.
“Kami juga menyukai YTL Power International yang sedang membangunkan Pusat Data Hijau berkapasiti 500 megawatt (MW) di Kulai melalui kerjasamanya dengan Nvidia dan dijangka melancarkan pusat data AI pertama berkapasiti 20 MW menjelang Ogos 2025, yang akan dilengkapi dengan cip terkini GB200,” katanya.
Selain itu, bank pelaburan berkenaan berkata Tenaga Nasional akan menjadi penerima manfaat utama daripada peningkatan penggunaan tenaga oleh pusat-pusat data dalam jangka masa panjang.
“Gergasi utiliti itu juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dengan DayOne Data Centers untuk membekalkan sehingga 500MW tenaga boleh baharu bagi tempoh 21 tahun, yang akan disokong oleh kapasiti penjanaan solar baharu,” katanya.
-- BERNAMA