EKONOMI

UNIT MALAKOFF MEMETERAI PERJANJIAN BINA FASILITI PENGURUSAN SISA KE TENAGA DI MELAKA

19/06/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Sungai Udang WTE Sdn Bhd telah memeterai perjanjian konsesi mengenai perkongsian awam-swasta dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Kerjasama ini bertujuan mereka bentuk, membina, membiayai, pengoperasian, penyelenggaraan dan penutupan fasiliti sisa ke tenaga (WTE) di Sungai Udang, Melaka.

Malakoff melalui satu kenyataan hari ini berkata fasiliti  WTE ini akan memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari dan menjana kira-kira 22 megawatt tenaga boleh baharu kasar di bawah perjanjian pembelian tenaga yang akan ditandatangani dengan Tenaga Nasional Bhd.

"Tempoh konsesi yang diberikan untuk melaksanakan projek itu adalah 34 tahun dari tarikh berkuatkuasa," kata syarikat penyelesaian tenaga dan alam sekitar itu.

 Tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat sebelumnya, projek itu dijangka bermula pada suku kedua 2026.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan