AM

GRAB, BURSA MALAYSIA SALUR ZAKAT PERMUDAH 500 ASNAF BUAT RAWATAN DIALISIS

19/06/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Seramai 500 pesakit buah pinggang dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan mendapat bantuan dalam bentuk baucar Grab bernilai RM300 setiap seorang untuk memudahkan pengangkutan ke pusat rawatan dialisis.

Sumbangan keseluruhan sebanyak RM150,000 itu merupakan sumbangan dua pemegang wakalah zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu Bursa Malaysia dan Grab Malaysia masing-masing berjumlah RM100,000 serta RM50,000. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program itu merupakan usaha bersama bagi meringankan beban kos pengangkutan pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala untuk satu tempoh panjang. 

“Dengan kos pengangkutan yang tinggi, apatah lagi perlu berulang-alik berkali-kali dalam seminggu, sudah pasti membebankan mereka khususnya dari aspek kos pengangkutan.

“Sumbangan ini mungkin tidak sebesar mana, tapi harapan saya agar ia dapat sedikit sebanyak memudahkan urusan para pesakit supaya dapat lebih fokus kepada rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ziarah Kasih Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis di Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS Batu Muda di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Datuk Prof Dr Noor Inayah Yaakub, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed serta Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor.

Sementara itu, Fad’l berkata sumbangan dana wakalah zakat merupakan sebahagian daripada komitmen Bursa Malaysia untuk menyokong inisiatif yang memberikan impak positif.

“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan sekadar diukur melalui prestasi kewangan atau kecemerlangan operasi tetapi juga melalui usaha menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta memperkukuh amalan kemampanan," katanya. 

Fad'l berkata kerjasama PPZ-MAIWP adalah satu contoh bagaimana zakat boleh disalurkan secara efektif untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, beliau berkata Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memanfaatkan instrumen zakat selain turut menggalakkan syarikat tersenarai awam untuk terus menyumbang kepada komuniti.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan