EKONOMI

MSM MALAYSIA SASAR TINGKATKAN JUMLAH EKSPORT PADA 2025, TEMBUSI PASARAN CHINA, ASEAN

19/06/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- MSM Malaysia Holdings Bhd menyasarkan lonjakan ketara dalam jumlah ekspot dan produk bernilai tambah seperti gula cecair dan pracampur daripada MSM Johor tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Feizal Syed Mohammad berkata sasaran syarikat adalah untuk meningkatkan eksport sehingga 360,000 tan pada 2025, naik berbanding 240,000 tan tahun lepas.

Sasaran ini didorong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran daripada kilang penapisan di Johornya, (MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd) serta melalui kerjasama strategiknya, katanya.

Beliau berkata MSM kini berhasrat meneroka peluang untuk menembusi pasaran berpotensi tinggi seperti China, di samping mengukuhkan kedudukannya di ASEAN, yang merupakan sebahagian daripada langkah strategik untuk mengembangkan operasi mereka.

"China bukanlah pasaran baharu. 

"Namun, dengan peningkatan kapasiti dan kecekapan operasi di kilang penapisan Johor, MSM kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan jumlah pengeluaran melebihi keperluan domestik, sekali gus dilihat mampu untuk meningkatkan eksport,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-14 syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata bagi mengembangkan jualan produk gula bertapis dan produk tambah nilai ke pasaran negara itu, syarikat itu menawarkan produk gula premiumnya yang berkualiti dan hubungan sedia ada dengan China Oil and Foodstuffs Corporation (Cofco Group), antara syarikat konglomerat agromakanan milik kerajaan terbesar di China.

"Eksport produk gula kami merangkumi kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan portfolio jualan MSM, manakala lebih 60 peratus daripada eksport kumpulan tertumpu ke pasaran ASEAN.

“Dengan syarikat Korea mengimport gula kami, dan China pula mendapatkan bekalan daripada pemain seperti Korea, kami percaya bahawa MSM mampu bersaing kerana produk kami telah pun dikenali di pasaran serantau,” kata beliau.

Bagi menyokong aspirasi peningkatan eksport itu, Syed Feizal berkata MSM telah melaksanakan penambahbaikan operasi, termasuk pencapaian kadar penggunaan kapasiti sebanyak 50 peratus di kilang Johor untuk dua minggu berturut-turut baru-baru ini, manakala kilang di Perlis kini beroperasi antara 80 hingga 85 peratus.

“Secara keseluruhan, hasil pengeluaran kumpulan telah meningkat kepada 94 peratus berbanding hanya 18 peratus setahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan