KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Ketelusan pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) membina asas literasi, sahsiah, dan jati diri anak bangsa adalah sumbangan sangat besar dan tidak ternilai harganya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sempena Hari Pendidik KEMAS 2025 yang disambut hari ini, beliau berkata di sebalik kejayaan anak bangsa, tersembunyi peranan besar para pendidik dan pemaju masyarakat KEMAS yang mencurahkan bakti di peringkat akar umbi.
"Tanpa keikhlasan dan dedikasi mereka membimbing dari usia muda, sukar untuk kita membayangkan bagaimana masyarakat desa dapat terus maju dan berkembang seperti hari ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata tema sambutan tahun ini "Di Sini Bermula" amat bertepatan dengan hakikat peranan guru KEMAS sebagai antara individu pertama yang memperkenalkan dunia ilmu kepada anak-anak kecil.
"Di sinilah mereka mula belajar menyebut huruf, mengenal angka, membina keyakinan diri dan memahami erti hormat. Di sinilah langkah awal mereka menuju masa depan bermula," katanya.
Beliau menyeru pendidik KEMAS untuk terus menyemai ilmu dengan penuh kasih sayang dan komitmen serta berharap usaha murni itu akan terus mewarnai masa depan negara dengan generasi yang berilmu, beradab, dan berjati diri.
-- BERNAMA