KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 62,485 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke politeknik dan kolej komuniti bagi kemasukan program diploma, sijil dan asasi Sesi I: 2025/2026 melalui permohonan sistem UPUOnline.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan 2,288 calon ditawarkan mengikuti program Asasi Teknologi Kejuruteraan di 10 politeknik bagi sesi berkenaan.
Pada sesi sama, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut menawarkan tempat kepada 360 pelajar, khusus kepada warga Sarawak untuk mengikuti tiga program Sijil Kejuruteraan di Politeknik Mukah, Sarawak.
“… manakala 1,554 calon lepasan SPM (bukan tahun semasa) dan selain SPM yang memohon melalui eBorang MyPolyCC turut ditawarkan mengikuti program diploma dan sijil di politeknik serta kolej komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, 43 calon lagi ditawarkan mengikuti pengajian lima program sijil khas di politeknik yang direka khusus untuk kumpulan pelajar berkeperluan khas (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.
Sebanyak 3,861 calon turut mendapat tawaran pengajian dengan tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), KPT dan Dermasiswa My Brighter Future Yayasan Tenaga Nasional.
KPT memaklumkan calon yang bersetuju menerima tawaran perlu melaksanakan proses pengesahan mulai semalam hingga 25 Jun di pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my dan boleh mencetak surat tawaran setelah pengesahan dilakukan.
Tarikh pendaftaran pelajar baharu program asasi adalah pada 7 Julai, manakala bagi program diploma dan sijil masing-masing pada 27 dan 28 Julai di 36 politeknik dan 103 kolej komuniti seluruh negara.
“Calon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil bagi permohonan melalui sistem UPUOnline, permohonan rayuan boleh dibuat melalui pautan https://upu.mohe.gov.my.
“… manakala, permohonan rayuan bagi calon yang memohon melalui sistem eBorang MyPolycc boleh dibuat melalui pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA