ISKANDAR PUTERI, 19 Jun (Bernama) -- Hubungan lama Malaysia dan Jepun terus diperkukuh bukan sekadar melalui kerjasama pelaburan dan teknologi, tetapi juga menerusi perkongsian nilai, penghargaan budaya dan kepercayaan yang semakin mendalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mencerminkan kekuatan hubungan Malaysia-Jepun dalam ucapan khasnya pada Nikkei Forum Medini Johor 2025 di sini pada Khamis, Anwar berkata Jepun kekal sebagai rakan kongsi penting dalam landskap ekonomi dan pendidikan Malaysia, dengan hubungan dua hala semakin mendalam di bawah kepimpinan kedua-dua negara.
“Hubungan kami dengan Jepun kini tidak lagi terbatas kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya sambil mengimbas kembali pertemuan beliau dengan pemimpin Jepun termasuk Perdana Menteri Shigeru Ishiba, yang menyenaraikan Johor dan inisiatif Hidrogen Hijau Sarawak sebagai antara tumpuan pelaburan masa depan Jepun.
Anwar turut berkongsi pengalamannya semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini, termasuk menyampaikan syarahan di Universiti Keio dan menyorot sumbangan intelektual sarjana Jepun Toshihiko Izutsu yang banyak mengkaji falsafah Islam dan kerohanian perbandingan.
“Penghargaan budaya dan intelektual yang lebih mendalam ini akan mengukuhkan persahabatan kita untuk generasi akan datang. Dalam dunia yang sering dipacu oleh kuasa dan ketamakan, kita perlu menghidupkan semula semangat etika, keadilan dan kemanusiaan dalam diplomasi dan perdagangan,” katanya.
Beliau turut menekankan komitmen berterusan kedua-dua negara terhadap kerjasama berasaskan kepercayaan dalam bidang seperti tenaga hijau, kecerdasan buatan, pendidikan dan pembangunan industri, dengan Johor memainkan peranan yang semakin penting dalam penglibatan Malaysia di peringkat global.
Anwar berkata Malaysia menghargai konsistensi Jepun sebagai rakan pembangunan dan memuji kesediaan kerajaan Jepun untuk terus melibatkan diri secara multilateral dengan ASEAN, terutamanya di tengah-tengah ketegangan perdagangan global seperti pengenaan tarif secara unilateral.
“Hubungan Malaysia-Jepun dibina atas dasar saling menghormati dan matlamat bersama. Inilah asas yang menjadikan hubungan ini berdaya tahan, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga secara moral dan diplomatik,” katanya.
-- BERNAMA