KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Seiring mobiliti bandar yang semakin tidak mampan di tengah-tengah senario pertambahan penduduk dan pelepasan karbon, mendorong Prasarana Malaysia Bhd menanganinya dengan menumpukan pembangunan berorientasikan transit (TOD) merangkumi ruang kediaman, komersial dan kemudahan sivik yang berhampiran dengan hab pengangkutan awam.
Prasarana yang juga pengendali pengangkutan awam terbesar negara, berkata TOD menggalakkan kewujudan kejiranan berkepadatan tinggi, boleh diakses dengan berjalan kaki dan kurang bergantung kepada kenderaan.
Visi itu dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) yang menumpukan usaha pelaksanaan dan penyampaian projek-projek TOD.
“Ini adalah pembangunan ‘hidup’ yang membentuk Lembah Klang. Antaranya Perla Ara Damansara, sebuah pembangunan bercampur-campur bersebelahan stesen transit aliran ringan (LRT) yang menggabungkan unit kediaman mampu milik dan pertengahan dengan ruang runcit, pejabat dan hotel.
“Satu lagi projek utama adalah The Riveria City di Brickfields yang terletak berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur dan merangkumi pembangunan bercampur-campur dalam Depot Monorel dan diintegrasikan sepenuhnya dengan aliran pejalan kaki serta perniagaan di sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Prasarana berkata setiap tapak TOD dibentuk oleh prinsip keterangkuman, mobiliti dan daya tahan persekitaran, termasuk mesra pejalan kaki dan akses kepada perkhidmatan penting.
Matlamatnya adalah untuk mentransformasi stesen-stesen transit kepada kehidupan bandar yang meriah serta menyokong perumahan, pekerjaan dan aktiviti runcit dalam satu ekosistem menyeluruh.
Melalui TOD juga, Prasarana membuka nilai baharu dengan memanfaatkan tanah stesen, hak udara dan aset komersial.
“Dalam tempoh lima tahun berikutnya, PRIDE menyasarkan untuk meningkatkan hasil komersial menerusi penyewaan, pengiklanan dan pembangunan bersama, sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan sambil menyumbang kepada matlamat lebih besar dalam memperbaharui semula kawasan bandar.
“Malaysia bukannya bermula dari kosong. Kita mengambil inspirasi daripada amalan terbaik global, khususnya dari Jepun dengan pengendali kereta api seperti JR East dan JR West telah lama menyepadukan pengangkutan dengan hartanah, perdagangan dan perkhidmatan,” katanya.
Menurut Prasarana, Malaysia menggunapakai pendekatan itu dalam konteks perbandarannya sendiri, melaraskan TOD dengan keutamaan negara seperti Dasar Pengangkutan Negara, Rancangan Malaysia Ke-12 dan rangka kerja kemampanan yang lebih meluas.
Aspek kelestarian alam sekitar turut penting bagi pelan hala tuju Prasarana sebagaimana digariskan dalam Pelan Tindakan Kelestarian 2023–2030.
Pelan itu menyasarkan pengurangan 45 peratus dalam pelepasan karbon operasi, penggunaan 1,450 bas elektrik, meningkatkan penggunaan tenaga solar dan infrastruktur bangunan hijau atau mesra alam sekitar bagi menyokong sasaran iklim Malaysia selain menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam.
Prasarana berkata visi itu akan diketengahkan di pentas global bersempena Expo 2025 Osaka, Jepun yang menyaksikan penyertaan Malaysia berasaskan tema “Designing Future Society for Our Lives” serta naratif Pavilion Malaysia “Menenun Masa Depan dalam Harmoni” yang bertepatan dengan fokus ekspo bagi membina masyarakat mengutamakan aspek berpaksikan rakyat, mampan serta berwawasan.
Projek-projek ini adalah sebahagian daripada naratif nasional lebih luas yang menyaksikan bandar bukan sahaja berkembang secara mendatar tetapi matang, berteraskan infrastruktur pintar dan pembangunan yang menumpukan komuniti.
TOD kekal antara mekanisme paling jelas bagi menyokong sasaran itu dan Prasarana kini membuktikan kemampuannya pada skala dalam persekitaran pembandaran pesat di Asia Tenggara.
“Memandangkan lebih banyak bandar di rantau itu menyasarkan sasaran sifar bersih, perancangan bersepadu dan mobiliti lebih pintar, perjalanan TOD Malaysia menyediakan kerangka jelas selain menjadi pelawaan terbuka untuk kerjasama, mempelajari dan aspek reka bentuk bersama generasi seterusnya bagi bandar lebih mampan untuk didiami,” katanya.
-- BERNAMA