KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan Scientex Bhd hanya menerima kesan langsung yang minimum daripada ancaman tarif Amerika Syarikat (AS).
Hal ini kerana kumpulan itu mempunyai kilang pembuatan di AS, sekali gus menjadikan eksportnya ke negara itu di bawah lima peratus daripada jumlah hasilnya.
Kenanga IB berkata pihak pengurusan telah memberikan panduan mengenai prospek yang mencabar bagi segmen pembungkusan plastiknya berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan tarif, serta persaingan yang agresif dalam pasaran.
“Memandangkan harga minyak mentah telah melonjak lebih daripada 10 peratus kebelakangan ini, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah, kami sedang memantau sebarang potensi kenaikan harga resin,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Scientex mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM123.87 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April, 2025, berbanding RM130.50 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat pengilang pembungkusan dan pemaju hartanah itu berkata keuntungan yang lebih rendah disebabkan terutamanya daripada penurunan jualan eksport dan kerugian pertukaran mata wang asing dalam bahagian pembungkusan, yang menyaksikan hasilnya merosot 6.4 peratus kepada RM614.8 juta berbanding RM656.9 juta.
Bagi bahagian hartanahnya, Kenanga IB berkata jualan hartanah mampu milik dijangka terus kukuh memandangkan kadar pembelian yang menggalakkan daripada pelancaran baru-baru ini.
Jualan yang belum dibil kumpulan itu berjumlah RM1.7 bilion setakat suku kedua tahun kewangan ini.
“Sepanjang setahun lalu, kami mendapati permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik yang berharga di bawah RM500,000 manakala terdapat peningkatan minat terhadap rumah dalam julat harga RM500,000 hingga RM1 juta, menandakan kemampuan pemilikan yang meningkat,” tambahnya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan Scientex sebagai ‘market perform’ dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM3.60 berbanding RM3.34 sebelum ini.
Sehingga 10.53 pagi, harga saham Scientex meningkat satu sen kepada RM3.35, dengan 789,000 saham diniagakan di Bursa Malaysia.
-- BERNAMA