KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Penyanyi veteran era 1980-an Zaleha Hamid meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat jangkitan paru-paru di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kira-kira 8.30 malam tadi.
Berita pemergian penyanyi itu disahkan suaminya Ungku Sulaiman Ungku Aziz ketika dihubungi Bernama.
"Allahyarham mula alami sesak nafas pada 6 petang semasa kita bagi susu menerusi tiub. Isteri dimasukkan ke hospital pada hari raya haji yang kedua.
"Sebelum ini Allahyarham memang terlantar sakit disebabkan strok sejak 2020," katanya.
Ungku Sulaiman berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru selepas solat Jumaat esok.
Zaleha meninggalkan tiga anak dan enam cucu.
Selain dikenali sebagai penyanyi dan penghibur terkenal di Malaysia dan Singapura, Allahyarham turut menjadi perintis awal irama muzik dangdut dan digelar Ratu Dangdut Malaysia.
Antara lagunya yang popular adalah Jangan Segan Segan, Jangan Kau Tangiskan, Nasib Janda, Sesejuk Airmata Ibu, Dangdut Reggae serta lagu duet termasuk Inang Aidilfitri bersama Allahyarham Datuk Sudirman, Sesuci Kasihku Semurni Cintamu bersama Aziz Ahmad dan Joget Burung Merpati bersama Herman Tino.
-- BERNAMA