JERTIH, 16 Jun (Bernama) -- Keluarga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Fatin Nasrien Fadli yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak minggu lepas, terharu dengan sumbangan orang ramai selepas kisah kesusahan mereka diketahui ramai.
Bapa Allahyarhamah Fadli Abdul Rahman, 50, berkata sumbangan itu banyak membantu keluarganya, memandangkan dia bekerja sebagai tukang rumah manakala isteri Nor Hasliza Yusof, 43, pembantu kedai runcit dengan pendapatan isi rumah sekitar RM2,000.
“Sebelum ini ada yang minta nombor akaun isteri dan saya tidak menyangka nombor itu tular sehingga ramai menghulurkan sumbangan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Kerandang, di sini hari ini.
Fadli berkata beliau akan menggunakan sumbangan itu dengan sebaiknya bagi perbelanjaan persekolahan tiga adik Allahyarhamah iaitu Fatin Nizalipa,13, Nur Faris Rayyan,12, dan Fatin Naminya, tujuh tahun.
Selain itu Fadli berkata Fatin Nasrien, 22, selaku anak sulung sangat bertanggungjawab dan menjadi harapan keluarga kerana akan menamatkan pengajian pada Julai tahun hadapan.
“Allahyarhamah ada beritahu, tidak mahu saya bekerja lagi dan akan menyara adik-adik bila dia sudah bekerja,” katanya dan menambah anaknya itu bercita-cita menjadi guru sejak kecil.
Fatin Nasrien adalah seorang daripada 15 penuntut UPSI yang maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB pada awal pagi 9 Jun.
Kemalangan itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan memaklumkan 13 daripada 15 penuntut yang maut itu adalah daripada keluarga asnaf fakir miskin yang senarai dalam pemerhatian mereka.
-- BERNAMA