Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia susut pada sesi awal dagangan Selasa berikutan aktiviti jualan sederhana, terutamanya bagi saham bermodal kecil walaupun prestasi semalaman Wall Street meningkat.
Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.03 mata kepada 1,519.96 daripada 1,519.99 pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.17 mata lebih rendah pada 1,518.82.
Namun, sentimen pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 142 berbanding 97 manakala 246 kaunter tidak berubah, 1,931 kaunter tidak diniagakan dan 22 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 78.56 juta saham yang bernilai RM43.88 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi susulan laporan mengenai usaha Iran menamatkan konflik dengan Israel yang memacu sentimen pasaran.
Indeks Dow Jones Industrial meningkat sebanyak 0.8 peratus manakala S&P 500 naik hampir satu peratus dan Nasdaq Composite menokok 1.5 peratus.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong ditutup tinggi dipacu oleh data ekonomi China yang mengatasi jangkaan awal.
Di peringkat tempatan, Thong berkata FBM KLCI ditutup tinggi pada Isnin berikutan minat belian dagangan terhadap saham perladangan dan telekomunikasi.
“Walaupun ketegangan Timur Tengah yang kian mereda, kami tetap berhati-hati memandangkan rundingan damai masih belum mencapai keputusan muktamad.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak pada paras 1,515 hingga 1,525 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik sebanyak 2.0 sen kepada RM9.61, Tenaga susut 6.0 sen kepada RM14.30 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat 1.0 sen kepada RM4.24 dan RM6.76 selain IHH Healthcare turun 1.0 sen kepada RM6.90.
Bagi saham paling aktif, Mpire Global dan Jiankun kekal tidak berubah pada 11.5 sen dan 3.0 sen manakala Nationgate Holdings meningkat 2.0 sen kepada RM1.47, Ekovest meraih setengah sen kepada 36.5 sen, Bumi Armada susut 1.0 sen kepada 47.5 sen dan Ucrest menambah setengah sen kepada 9.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 6.33 mata kepada 11,367.12, Indeks FBMT 100 menambah 5.85 mata kepada 11,144.20, namun Indeks FBM Emas Shariah susut 4.82 mata kepada 11,368.84.
Indeks FBM 70 menambah 32.65 mata kepada 16,316.11 manakala Indeks FBM ACE susut 2.82 mata kepada 4,468.99.
Dari segi sektor, Indeks Perladangan merosot 17.74 mata kepada 7,332.53, Indeks Tenaga turun 8.96 mata kepada 743.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 22.10 mata kepada 17,523.10 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.05 mata kepada 151.18.
-- BERNAMA