GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang komited menambah baik keberkesanan pelaksanaan tugas penguatkuasaan pemantauan, pengawalan dan pengawasan (MCS) di perairan negeri ini berikutan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung isu pencerobohan bot pukat tunda dari Zon B ke Zon A.
Ini termasuk melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam aspek pemantauan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), kata Pengarah Perikanan negeri Zarina Zainuddin.
Beliau berkata pihaknya memandang serius teguran berkenaan dan sehubungan itu, beberapa langkah telah, sedang dan akan diambil termasuk meningkatkan kekerapan lawatan pemantauan oleh pihak pengurusan ke pangkalan penguatkuasaan bagi memastikan tugasan dilaksanakan mengikut SOP dan arahan tetap, dengan dua pemeriksaan mengejut telah dilaksanakan pada 22 April 2024 dan 26 Julai 2024.
“Selain itu, pemeriksaan berkala juga dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehadiran kakitangan, pematuhan etika kerja, serta pelaksanaan tugas selaras dengan garis panduan Captain Order,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata audit dalaman pengurusan buku log penguatkuasaan turut dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rekod harian diselenggara mengikut ketetapan, di samping penambahbaikan sistem penyimpanan rekod bagi meningkatkan ketelusan dan ketertiban maklumat operasi.
Zarina berkata pihaknya turut menganjurkan kursus dan latihan pemantapan SOP secara menyeluruh melibatkan semua pegawai penguat kuasa, selaras dengan syor EAIC bagi memastikan kefahaman dan pematuhan terhadap peraturan sentiasa ditingkatkan.
“Semakan semula SOP berkaitan penerimaan aduan yang disertakan bukti video telah dilaksanakan bagi mempercepat dan memperkemas proses siasatan. DOF Pulau Pinang kini membuat laporan polis dan membuka kertas siasatan bagi setiap aduan berkaitan pelanggaran Akta Perikanan 1985, khususnya melibatkan pencerobohan bot tunda ke Zon A.
"Sepanjang tahun lepas, DOF Pulau Pinang telah menerima tujuh aduan rakaman video berhubung pencerobohan kawasan penangkapan ikan oleh bot pukat tunda Zon B1 dan C, hasilnya 13 bot tunda telah disiasat dengan tindakan penguatkuasaan diambil termasuk pengeluaran kompaun RM6,000 serta pertuduhan di mahkamah," katanya.
Beliau berkata tujuh bot tunda Zon C turut ditahan DOF dengan jumlah kompaun dan hasil lelongan ikan bernilai RM41,200, sementara tindakan lanjut seperti penggantungan lesen vesel dan lesen penangkapan ikan selama setahun, rampasan peralatan lengkap, larangan pindah milik vesel selama lima tahun serta pertuduhan di mahkamah telah dilaksanakan.
Zarina berkata pihaknya menghargai teguran dan syor yang dikemukakan EAIC serta akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan pematuhan terhadap prinsip integriti serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan sumber perikanan negara.
Terdahulu, EAIC pagi tadi mendedahkan beberapa kelemahan DOF Pulau Pinang termasuk gagal mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda Zon B ke Zon A serta gagal melaksanakan pemantauan sewajarnya terhadap pegawai dan anggota penguat kuasa di bawah seliaannya.
Selain itu, EAIC juga mendapati pengurusan DOF Pulau Pinang tidak peka terhadap tugasan harian penguatkuasaan serta kekangan yang dihadapi oleh pegawai serta anggota di pangkalan berkenaan.
-- BERNAMA