EKONOMI

CAWANGAN BAHARU DI MELAKA PERKUKUH KOMITMEN BANK MUAMALAT PERLUAS RANGKAIAN

09/06/2025 07:06 PM

MELAKA, 9 Jun (Bernama) -- Pembukaan cawangan baharu Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) di Melaka yang dilancarkan hari ini mengukuhkan komitmen bank tersebut dalam memperluas rangkaian dan perkhidmatan perbankan Islam di negeri berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata cawangan baharu yang mula dibuka di Melaka International Bowling Centre (MIBC) di Ayer Keroh pada 28 April lepas telah menerima lebih 400 pelanggan baharu dan merekodkan jumlah transaksi perniagaan melebihi RM4.9 juta  dalam tempoh sebulan.

"Cawangan baharu ini bukan sekadar premis, ia adalah komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Melaka dan sejak cawangan baharu ini dibuka, sambutan daripada komuniti setempat adalah menggalakkan.

"Lokasinya yang strategik di tengah-tengah pusat pentadbiran dan perindustrian membolehkan kami memberi nilai tambah kepada usahawan tempatan, komuniti setempat dan agensi kerajaan secara terus dan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Khairul berkata cawangan baharu itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk akaun deposit dan pelaburan, pembiayaan perumahan, peribadi dan perniagaan, Ar-Rahnu, pelaburan emas, unit amanah dan takaful selain ejen rasmi Amanah Saham Nasional Berhad, zakat dan Tabung Haji.

Menurutnya, bank itu juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Melaka dalam inisiatif pembangunan seperti program keusahawanan Islam, pemerkasaan ekonomi B40, transformasi digital luar bandar serta inisiatif transaksi tanpa tunai khususnya di lokasi pelancongan dan komuniti luar bandar.

"Kami percaya cawangan ini akan memperkukuh peranan kami sebagai rakan strategik kepada pembangunan negeri dan kehadiran kami di Melaka adalah manifestasi komitmen jangka panjang Bank Muamalat untuk memperluaskan akses kewangan Islam kepada komuniti setempat, menyokong agenda digitalisasi dan memperkasa keusahawanan.

"Pada penghujung tahun lepas, Bank Muamalat membuka dua cawangan baharu di Melaka iaitu di Jasin dan Alor Gajah serta sebuah pusat Ar-Rahnu di Sungai Udang dan kini kami mempunyai 70 cawangan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri terbuka untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama dengan Bank Mualamat sama ada dalam aspek pembangunan, kebajikan atau pendidikan kewangan.

“Usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menerusi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang memberi penekanan antaranya kepada pembangunan ekonomi patuh syariah, industri halal, dan pelaburan mampan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pemerkasaan usahawan khususnya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya sehingga Mei tahun ini, terdapat lebih 34,900 PMKS berdaftar di Melaka dengan lebih 300 produk halal telah mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan