MELAKA, 18 Jun (Bernama) -- Penceritaan mengenai Kota Melayu Melaka yang sering disebut dalam penulisan sejarah mahupun hikayat Melayu dan Nusantara sebagai sebuah kota agung kini dibuktikan dengan penemuan jajaran asal tembok Bastion Hendrica Louisa di Bukit Melaka.
Ahli Arkeologi Berdaftar Jabatan Warisan Negara Mohd Nasruddin Rahman berkata kajian ekskavasi arkeologi di tapak asas tangga Taman Larangan berhadapan Istana Kesultanan Melaka di Banda Hilir berjaya menemukan struktur dipercayai binaan Kota Melaka yang ‘dikambus’ dengan binaan kota dan kubu pertahanan penjajah Portugis sebelum dinaik taraf oleh Belanda dan British.
“Penemuan ini amat penting bagi membuktikan kewujudan Kota Melaka dan mendedahkan lanjutan jajaran awal tembok Kota Melaka dan Bastion Hendrica Louisa yang juga kawasan pertahanan di arah selatan bagi mengekang serangan dari arah laut dan darat.
“Lebih menarik, pertahanan di kawasan ini juga diperkuat dengan binaan parit di bahagian luar kota dengan kelebaran dan kedalaman lebih kurang lima meter,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hasil kajian ekskavasi yang dilakukan dari 22 hingga 30 Mei lepas juga membawa kepada penemuan struktur Bastion Hendrica Louisa yang dianggap sebagai jumpaan penting yang menyamai bentuk kubu seperti yang terdapat dalam pelan Belanda abad ke-18.
“Untuk itu, amat penting bagi kita menyelamatkan warisan negara dan dunia ini daripada musnah atau hilang ‘dikambus’ oleh pembangunan yang sedang dilakukan di sekitar Banda Hilir. Usaha ini memerlukan sokongan kuat daripada kerajaan negeri, agensi seperti Perbadanan Muzium Melaka, Jabatan Warisan Negara dan pihak berkuasa tempatan.
“Saya percaya ia juga selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mahu warisan berkaitan Kota Melaka ini didokumentasi, dipelihara dan dipertontonkan sebagai usaha memberi gambaran sebenar kegemilangan era Kesultanan Melayu Melaka sebelum dijarah oleh penjajah,” katanya.
Beliau berkata kajian ekskavasi arkeologi perlu dilakukan segera untuk melihat keseluruhan jajaran dan tembok kubu berbentuk bujur itu, di samping turut mencadangkan agar satu usaha dilakukan bagi membina semula sebahagian tembok kota itu seperti di Middlesbrough Bastion.
“Mungkin kita boleh naikkan tapak ini setinggi dua kaki untuk menampakkan gambaran jelas jajaran tembok berkenaan.
“Saya juga percaya tapak arkeologi ini berpotensi sebagai lokasi arkeopelancongan, sekali gus menjadi produk pelancongan dan warisan Melaka terbaharu terutama menarik golongan pelajar universiti dari dalam dan luar negara serta orang awam untuk merasai pengalaman sebagai arkeologi,” katanya.
-- BERNAMA