AM

ISTIQAMAH MENABUNG BAWA TUAH PADA PESARA GURU TERPILIH JUTAWAN BSN SSP

18/06/2025 04:32 PM

MELAKA, 18 Jun (Bernama) -- Pesara guru Bahari Harun tidak menyangka amalan menabung secara istiqamah bermula usia 17 tahun akhirnya membawa rezeki kepadanya apabila bergelar ‘jutawan segera’ selepas terpilih sebagai pemenang cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-112.

Bahari, 60, dari Kampung Sungai Putat di sini berkata pada awalnya beliau mula menyimpan wang dalam akaun BSN SSP disebabkan tertarik dengan pelbagai hadiah lumayan ditawarkan kepada pemenang cabutan Jutawan BSN SSP namun menabung kini menjadi amalan yang terus dipraktiskan sehingga hari ini.

"Pada mulanya, saya hanya mula menyimpan sebanyak RM10 sahaja kerana dahulu gaji kecil tetapi disebabkan tertarik dengan hadiah yang ditawarkan seperti motosikal dan kereta, jadi saya mula menyimpan.

"Saya terus bersemangat untuk terus menyimpan dalam akaun BSN SSP kerana sebelum ini, banyak kali juga saya terpilih sebagai pemenang tetapi bagi kategori hadiah antaranya wang tunai dan peralatan elektrik… mana tahu satu hari nanti jadi jutawan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Temu Bual dan Majlis Penyampaian Hadiah Jutawan BSN SSP ke-112 yang disampaikan Pengarah BSN Melaka Mohd Hairul Izam Abu Bakar.

Mengimbas pengalamannya sepanjang menyimpan wang dengan BSN SSP, Bahari berkata beliau gemar menyimpan di cawangan berlainan sekali gus berharap ada tuah menantinya sebagai pemenang cabutan Jutawan BSN SSP.

Bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek berkata jumlah simpanan yang dibuat semakin meningkat berbanding pada mula beliau mula menyimpan tanpa mengharapkan dividen yang diperoleh.

Berkongsi detik gembira yang selama ini dinantikannya sebagai penyimpan tegar akaun SSP, bapa kepada tiga anak berusia 13 hingga 20 tahun itu berkata beliau mendapat maklumat namanya dipilih sebagai pemenang peraduan itu daripada isterinya, Dalena Mahadi, 42, menerusi telefon pada Sabtu lepas.

"Walaupun memang berharap menjadi pemenang cabutan SSP, namun mulanya, saya tidak percaya kerana cabutan yang dibuat bukan pada waktu kebiasaan iaitu pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

"Tetapi apabila memeriksa maklumat berkenaan dengan pihak BSN sendiri, barulah saya percaya dan sangat bersyukur dengan rezeki yang telah lama dinantikan," katanya yang telah berkhidmat sebagai guru selama 34 tahun.

Katanya setakat ini, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan atau cadangan untuk membelanjakan wang yang diperoleh tetapi akan terus menyimpannya dalam akaun SSP untuk terus melayakkan memasuki peraduan sama di masa hadapan.

Beliau berkata bagaimanapun asbab rezeki yang diperoleh, dia berhasrat membawa adik-beradiknya yang belum menunaikan haji atau umrah untuk mengerjakan ibadah berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan