GAYA HIDUP

Nahanthiran Kongsi Formula 24 Jam Hasilkan Draf Pertama E-buku

26/06/2026 08:38 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ramai bercita-cita menjadi penulis, tapi halangan terbesar bukanlah tiada idea tetapi kurang keyakinan disebabkan takut gagal, mahu semuanya sempurna selain menyangka menulis buku memakan masa yang lama.

Presiden Intellectual Authors Club (IAC) S. Nahanthiran berkata menjadi penulis bukan semata-mata bergantung kepada bakat, sebaliknya memerlukan pendekatan yang betul.

“Bagi membantu penulis baharu, saya membangunkan satu metodologi penulisan yang membolehkan draf pertama buku elektronik (e-buku) disiapkan dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pendekatan itu menjadi asas kepada bengkel kendaliannya bertujuan membimbing golongan profesional, usahawan, pendidik dan penulis kali pertama melalui proses penulisan yang tersusun.

Nahanthiran berkata dalam bengkel itu peserta digalakkan memberi tumpuan kepada menyiapkan draf pertama terlebih dahulu kerana proses penyuntingan boleh dilakukan kemudian.

pic-2

Beliau berkata peserta juga diperkenalkan kepada asas penulisan e-buku sebelum dibimbing menggunakan kerangka kerja yang memudahkan proses tersebut sekali gus berbeza dengan kursus penulisan konvensional yang menekankan penyelidikan panjang dan penulisan mengikut bab.

“Sepanjang bengkel berlangsung, peserta turut mengikuti sesi praktikal untuk membangunkan manuskrip masing-masing dan bukan sekadar menghadiri sesi ceramah.

"Menulis e-buku berbeza daripada menulis buku bercetak tradisional. Apabila peserta memahami struktur dan metodologi yang betul, proses penulisan menjadi lebih mudah," katanya yang telah menghasilkan 17 e-buku pelbagai genre.

Nahanthiran berkata program itu turut merangkumi proses penambahbaikan secara berpandu yang membolehkan peserta menyemak dan memperkemas manuskrip sebelum dihantar untuk penilaian.

Katanya peserta yang berjaya menamatkan program akan menerima sijil penyertaan.

pic-3

Beliau berkata perkembangan pesat penerbitan digital menjadikan proses berkongsi kepakaran, membina kredibiliti dan berhubung dengan khalayak yang lebih luas semakin mudah tanpa perlu bergantung kepada saluran penerbitan tradisional.

Katanya e-buku kini bukan lagi sekadar bahan bacaan, sebaliknya menjadi medium penting untuk penjenamaan peribadi, perkongsian ilmu dan pembangunan profesional.

"E-buku membolehkan individu berkongsi pengetahuan, membina jenama peribadi dan meninggalkan legasi yang berkekalan. Matlamat saya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia menjadi penulis kerana ia sesuatu yang mampu dicapai oleh semua orang," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573490