BERLIN, 26 Jun (Bernama-dpa) -- Pertubuhan kebajikan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) melaporkan peningkatan yang membimbangkan dalam jumlah kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan di selatan Afghanistan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, pusat pemakanan yang disokong oleh MSF di wilayah berkenaan merekodkan peningkatan 30 peratus dalam jumlah kanak-kanak kekurangan zat makanan yang dimasukkan ke pusat rawatan pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Pihak kami menerima kanak-kanak untuk rawatan pada tahap yang sudah terlalu lewat dan kebanyakannya berada dalam keadaan kritikal dengan komplikasi perubatan yang sebenarnya boleh dicegah," kata Penyelaras Perubatan MSF di selatan Afghanistan, Ana Lilia Banda.
Beliau berkata kebanyakan kanak-kanak yang dimasukkan ke pusat rawatan berusia di bawah setahun.
Pada Rabu, Timbalan Jurucakap pentadbiran Taliban di Kabul Hamdullah Fitrat berkata kerajaan komited untuk melindungi hak kanak-kanak, menurut laporan saluran televisyen Afghanistan, Tolonews.
MSF turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan ketara dalam pembiayaan antarabangsa kepada Afghanistan.
Penutupan kemudahan kesihatan di seluruh negara akibat kekurangan dana menjadikan pengesanan awal kes kekurangan zat makanan semakin sukar manakala keadaan itu diburukkan lagi oleh kemarau yang berulang.
Sejak Taliban kembali mengambil alih kuasa pada musim panas 2021, negara penderma antarabangsa mengurangkan secara drastik sumbangan mereka kepada program bantuan kemanusiaan di Afghanistan.
Pada Selasa, wakil Taliban diterima buat pertama kali oleh Suruhanjaya Eropah untuk mengadakan rundingan di Brussels. Suruhanjaya Eropah mengesahkan bahawa perbincangan di peringkat teknikal itu memberi tumpuan kepada isu penghantaran pulang rakyat Afghanistan ke negara asal mereka.
-- BERNAMA-dpa