DUNIA

ASEAN Perlu Bergerak Ke Arah Ekosistem STI Lebih Bersepadu - Chang

27/06/2026 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Malaysia menekankan kepentingan untuk ASEAN bergerak ke arah ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) yang lebih bersepadu dan berorientasikan misi bagi menangani cabaran serantau seperti peralihan tenaga, keterjaminan makanan, kesihatan awam dan daya tahan iklim.

Perkara itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (AMMSTI) ke-22 di Vientiane, Laos, pada Jumaat.

“Malaysia juga berkongsi usaha memperkukuh platform inovasi serantau, integrasi ekosistem pemula ASEAN serta kepentingan memastikan penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada impak yang nyata kepada masyarakat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurut Chang, Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Chang berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Perbincangan tertumpu kepada persiapan Malaysia sebagai tuan rumah AMMSTI-23 dan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi ke-91 (COSTI-91) pada tahun depan, termasuk usaha memastikan kepengerusian Malaysia dapat memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang STI.

“Semoga persiapan awal ini dapat membantu Malaysia memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memacu agenda STI ASEAN yang berdaya tahan, mampan dan kompetitif,” katanya.

Beliau turut mengadakan pertemuan bersama Pengerusi AMMSTI Singapura Gan Siow Huang, Pengerusi AMMSTI Brunei Datuk Mohd Riza Yunos dan Pengerusi AMMSTI Thailand Yodchanan Wongsawat.

Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang STI, termasuk potensi kolaborasi dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi, teknologi angkasa dan teknologi nuklear.

“Semoga perbincangan ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik serta memperkukuh ekosistem STI yang lebih berdaya tahan, mampan dan kompetitif di rantau ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573544